
SIBU – Seramai 36 Ahli Isi Rumah (AIR) berstatus miskin yang berdaftar di bawah sistem eKasih menerima suntikan bantuan peralatan bernilai keseluruhan RM180,000 bagi membantu mereka memulakan perniagaan.
Bantuan di bawah Program Sejahtera MADANI Fokus Peningkatan Pendapatan (Peralatan) kelolaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Sarawak itu disasarkan khusus kepada kumpulan pelajar dan alumni Kolej Vokasional Sibu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, inisiatif berkenaan merupakan langkah strategik bagi memastikan kemahiran teknikal yang dipelajari dapat diterjemahkan secara langsung kepada penjanaan pendapatan bulanan.
“Program ini amat berfokus kerana ia memberi bantuan kelengkapan kepada golongan yang telah mendapat latihan kemahiran di Kolej Vokasional.
“Pendekatan ini bukan sekadar untuk meringankan beban, sebaliknya kelestarian bantuan itu dipastikan apabila mereka menggunakan kemahiran sedia ada untuk membuka perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan Program Sejahtera MADANI di Dewan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (LAKIS) pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Dr Annuar menyedari bahawa setiap perniagaan mempunyai risikonya yang tersendiri, namun pendidikan dan kemahiran praktikal yang dimiliki para graduan tersebut akan membantu meminimumkan risiko kegagalan dalam pasaran.
Tambahnya, usaha serampang dua mata yang dijayakan secara bersama oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri itu turut bertepatan dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak yang menyasarkan peningkatan taraf hidup serta pendapatan rakyat pada peringkat akar umbi.





