
SANDAKAN – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah membongkar kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM4.89 juta di Sungai (Sg) Seguntur, di sini pada Selasa lalu.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi bersepadu khas bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dijalankan hasil maklumat dan risikan sebelum serbuan dilakukan di sebuah jeti tidak berdaftar di tepi Sg Seguntur kira-kira jam 1.30 pagi, 15 September lalu.
“Serbuan itu membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 45 tahun serta rampasan 1.82 juta batang rokok tidak bercukai pelbagai jenama yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.
“Turut dirampas sebuah lori bonded tiga tan, sebuah bot laju berukuran 30×10 kaki serta tiga unit enjin sangkut Yamaha 200 kuasa kuda (HP).
“Nilai keseluruhan rampasan pertama dianggarkan RM2.564 juta,” ujarnya dalam kenyataan, pada Khamis.

Menurut Ahmad Amri, hasil maklumat susulan daripada tangkapan dan rampasan pertama, pasukan serbuan kemudian mengesan sebuah lagi bot laju yang disembunyikan di celah pokok bakau di Sg Seguntur.
“Pemeriksaan menemukan sebuah bot berukuran 30 x 10 kaki yang dilengkapi tiga unit enjin sangkut Yamaha 200HP serta muatan 1.73 juta batang rokok tidak bercukai pelbagai jenama.
“Bot dan kesemua barangan rampasan dibawa ke Jeti Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut dengan nilai rampasan kedua dianggarkan RM2.326 juta,” katanya.

Tambahnya, secara keseluruhannya, operasi bersepadu khas itu berjaya merampas 3.55 juta batang rokok tidak bercukai dengan nilai keseluruhan RM4.89 juta.
“Dalam operasi berasingan pada 14 September lalu, katanya, PPM Wilayah 4 Sabah turut menyerbu sebuah gudang tidak bernombor di Kampung (Kg) Dambai, Jalan Tuaran Bypass, Kota Kinabalu.
“Hasil pemeriksaan menemukan 43,200 tin minuman keras disyaki tidak bercukai dengan nilai rampasan dianggarkan RM478,506.
“Justeru, kejayaan ketiga-tiga serbuan berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan rampasan kontraban oleh PPM Wilayah 4 Sabah pada 14 dan 15 September lalu bernilai RM5,368,506,” kongsinya.

Ahmad Amri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
“Bagi tempoh Januari hingga 15 September 2026, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 61 kes di bawah Akta Kastam 1967, membabitkan nilai rampasan keseluruhan RM8,386,812.61 serta 40 tangkapan.
“Kejayaan ini mencerminkan keberkesanan perkongsian risikan dan kerjasama strategik antara PPM Wilayah 4 Sabah dengan SPRM dalam memperkukuh tindakan penguatkuasaan serta membanteras kegiatan penyeludupan dan pengedaran barangan tidak bercukai,” katanya.
Tambahnya lagi, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan, memperkukuh perkongsian maklumat dan meningkatkan kerjasama antara agensi bagi memastikan kegiatan penyeludupan dapat dibanteras secara berterusan demi keselamatan serta kepentingan negara.



