
ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) Malaysia menegaskan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim perlu dijunjung, manakala setiap tindakan kerajaan dan institusi perundangan mesti berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Biro Guaman dan Aduan Awam AMK, Khairul Naim Rafidi berkata, sebarang persoalan berhubung tafsiran dan pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu diselesaikan melalui saluran undang-undang yang sah, bukannya menerusi tuduhan yang belum dibuktikan.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius kekeliruan berhubung pelaksanaan perintah itu sehingga mencetuskan dakwaan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) dan kerajaan Malaysia mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong.
“Kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan wajib dihormati.
“Namun, tindakan AGC mendapatkan penjelasan mengenai tafsiran dan pelaksanaan perintah tidak dengan sendirinya bermaksud berlaku keingkaran terhadap titah Seri Paduka Baginda,” katanya dalam satu kenyataan, Isnin.

Khairul Naim berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengarahkan Peguam Negara menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menjelaskan kedudukan undang-undang berhubung perkara itu.
Sehubungan itu, proses penyediaan dokumen Order of Discharge perlu diteliti bagi memastikan kandungannya selaras dengan keputusan Lembaga Pengampunan serta titah perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, AMK akan menggerakkan usaha membuat laporan polis bagi memohon siasatan terhadap kemungkinan wujud ketidakaturan dalam proses berkenaan, termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur kesalahan.
“Semua pihak perlu menghormati Perlembagaan dan memastikan persoalan berkaitan pelaksanaan perintah pengampunan diselesaikan secara tertib menerusi proses perundangan yang sah,” tegasnya.


