
SEMPORNA – Sebanyak 1.658 tan sisa marin berjaya dikeluarkan dari perairan Semporna dan Pulau Mabul dalam tempoh dua hari menerusi Program Pembersihan Bawah Air Tahunan anjuran Jetama Sdn Bhd sempena sambutan Hari Malaysia 2026.
Wakil Jetama, Ag. Ahmad Zaki berkata, program yang berlangsung selama empat hari bermula 15 hingga 18 September itu menyasarkan kutipan keseluruhan tiga tan sisa marin dengan dua hari lagi operasi pembersihan akan dilaksanakan.
“Sehingga dua hari pertama, kita telah mengumpul 1.658 tan sisa marin dan masih mempunyai dua hari lagi untuk meneruskan usaha ini.
“Inisiatif sempena Hari Malaysia ini mencerminkan semangat kemakmuran bersama dan tanggungjawab dalam melindungi alam sekitar marin kita,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Ag Ahmad Zaki, program berkenaan dilaksanakan di perairan sekitar Semporna dan Pulau Mabul dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Semporna, Malaysia Scuba Diving Association (MSDA) dan Semporna Professional Divers Association (SPDA), membabitkan penyertaan 15 penyelam sukarelawan.
“Jetama menetapkan komitmen untuk mengeluarkan sebanyak 12 tan sisa marin setiap tahun menerusi program Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) syarikat berkenaan.
“Sejak program itu dimulakan pada 2024, sebanyak 36 tan sisa marin telah dikeluarkan dari perairan Sabah,” kongsinya.
Untuk rekod, Jetama turut memegang dua pengiktirafan Malaysia Book of Records menerusi kategori Pembersihan Bawah Air dengan Kutipan Sisa Marin Terberat dalam Sehari selepas mengumpul 2,171 kilogram sisa serta Pembersihan Bawah Air dengan Kutipan Sisa Plastik Terberat dalam sehari dengan kutipan 1,578 kilogram.



