
KLANG – Kediaman strata seharusnya menjadi aset yang meningkatkan kualiti hidup pemilik, bukannya bertukar menjadi ‘perangkap’ akibat masalah hak milik, kemudahan asas dan pengurusan yang berlarutan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri komited memastikan pemilik kediaman strata tidak terus dibebani masalah lama, termasuk kegagalan pemaju menyelesaikan urusan hak milik.
Menurutnya, terdapat projek terdahulu yang pemajunya sudah gulung tikar atau tidak lagi mengambil tanggungjawab, menyebabkan proses pemilikan strata tertangguh dan memberi kesan kepada pemilik rumah.
“Kadang-kadang kediaman itu sepatutnya mengubah kehidupan mereka, tetapi menjadi satu perangkap yang kadang-kadang kita tidak inginkan.
“Selain isu infrastruktur, utiliti dan kemudahan asas, kita juga lihat kepada jaringan komuniti serta isu pemilikan strata atau pemilikan tanah atas nama masing-masing,” katanya, dalam satu kenyataan pada Khamis.

Amirudin berkata, kerajaan negeri sebelum ini memperuntukkan antara RM10 juta hingga RM20 juta dalam tempoh dua tahun bagi membantu menyelesaikan isu hak milik strata yang tertunggak.
Katanya, penyelesaian isu berkenaan bukan hanya melibatkan kelulusan pelan bangunan, pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat tanah atau bayaran cukai tanah, tetapi turut memerlukan proses pengumpulan dan pengemaskinian maklumat pemilik.
“Bayangkan satu-satu rumah strata mempunyai lebih 200 unit, kadang-kadang ribuan dan kita terpaksa mengambil tempoh panjang dalam pengisian data serta maklumat.
“Kita memerlukan proses lebih luas kerana perlu melakukan beberapa langkah yang tertinggal daripada masa lalu,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri mahu memperkasakan Program Ceria yang dilaksanakan sejak 2009 bagi meningkatkan kualiti perumahan dan kehidupan penduduk strata.
“Kalau kita ada kaedah penyelesaian lebih baik, Insya-Allah tahun depan kita sedia menaikkan dana Ceria kerana kita ingin pastikan ia dapat membantu lebih banyak kawasan perumahan dan sokongan kepada perumahan strata, apartment dan flat yang masih memerlukan sokongan berterusan,” katanya.
Menurut Amirudin, aspek asas seperti keadaan lif, kutipan sampah, bekalan air dan kemudahan lain perlu terus diberi perhatian, selain memperkukuh jaringan komuniti dalam kalangan penduduk.
Katanya, penyelesaian isu strata memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan negeri, PBT, pejabat tanah, badan pengurusan bersama (JMB) dan komuniti penduduk.



