
AMPANG JAYA – Tiga individu dilaporkan mengalami kecederaan selepas dirempuh sebuah kenderaan yang dipandu seorang warga emas di Jalan 4/8 Pandan Perdana, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid menerusi kenyataan rasmi memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan terbabit yang berlaku kira-kira jam 11.15 pagi.
Siasatan awal mendapati pemandu lelaki berusia 89 tahun berkenaan dipercayai tersilap menekan pedal minyak semasa proses meletakkan kenderaannya di kawasan parkir terbabit.
Kejadian menyebabkan kenderaan berkenaan merempuh seorang penunggang motosikal, penjual bunga dan pejalan kaki yang berada di kawasan sekitar sehingga kesemuanya jatuh di tepi jalan.
“Hasil siasatan awal mengesahkan kejadian berpunca daripada kecuaian pemandu kenderaan berkenaan sewaktu mengendalikan kenderaannya.
“Tiga mangsa yang terjejas telah dibawa ke hospital berhampiran bagi perkhidmatan rawatan perubatan dan kesemua pihak terlibat telah tampil membuat laporan polis,”
Pihak polis mengklasifikasikan siasatan di bawah Kaedah 10 LN 166/59 yang memperuntukkan hukuman kompaun jika disabitkan kesalahan.
Sumber: ikbm





