PUTRAJAYA – Belanjawan 2027 dijangka menjadi belanjawan terbesar negara dengan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan diunjur mencecah RM440.9 bilion berbanding RM421.2 bilion dalam Belanjawan 2026.
Menurut MBSB Investment Bank Bhd, peningkatan perbelanjaan itu dijangka kekal terkawal bagi mengimbangi keperluan menyokong pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh kedudukan fiskal dalam jangka sederhana.
Katanya, peruntukan yang lebih besar itu dijangka mencerminkan peningkatan perbelanjaan mengurus, kesinambungan bantuan sosial dan sokongan kos sara hidup, selain perbelanjaan pembangunan yang lebih tinggi.
“Hasil kerajaan akan terus meningkat pada 2027, disokong oleh peningkatan kutipan cukai langsung dan tidak langsung susulan pertumbuhan ekonomi yang berterusan, usaha meluaskan asas hasil serta penambahbaikan kutipan hasil fiskal
“Pelaksanaan e-Invois yang lebih meluas dan pendigitalan pentadbiran cukai dijangka secara beransur-ansur memperkukuh pematuhan serta mengurangkan ketirisan, manakala peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dijangka terus menyokong kutipan cukai tidak langsung,” katanya dalam nota pendidikan, pada Ahad.
Dalam pada itu, Bank pelaburan itu turut menjangkakan defisit fiskal negara mengecil kepada sekitar 3.3 hingga 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2027, berbanding kira-kira 3.7 peratus pada 2026.
Menurutnya, perkara itu menunjukkan konsolidasi fiskal masih diteruskan, walaupun pada kadar yang agak lebih perlahan berbanding laluan jangka sederhana asal Kerajaan.
“MBSB berpandangan ia tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah perbelanjaan fiskal semata-mata, sebaliknya turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekosistem pelaburan Malaysia dan menggerakkan modal domestik.
“Antara cadangan yang berpotensi dipertimbangkan ialah menerbitkan perancangan projek pelbagai tahun, menjadikan insentif pelaburan berasaskan hasil, memperkukuh elaun pelaburan semula, mewujudkan kerangka pelaburan grid nasional serta memperluas pembiayaan ekosistem semikonduktor,” katanya.
Selain itu, MBSB turut mencadangkan galakan terhadap pelaburan isi rumah jangka panjang, menghubungkan perumahan mampu milik dengan pengangkutan awam serta menyediakan pelan hala tuju penetapan harga karbon secara berperingkat.
“Belanjawan yang berjaya bukan sekadar menyokong ekonomi jangka pendek, tetapi turut meningkatkan akses modal, memperkukuh keupayaan domestik serta mendorong produktiviti, pekerjaan berkualiti dan nilai ekonomi jangka panjang,” katanya.
Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan pada 9 Oktober depan dan akan menjadi Belanjawan MADANI kelima serta belanjawan kedua bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).







