Indonesia perhebat operasi tangani krisis kebakaran hutan, 138 suspek ditahan

KUCHING – Indonesia terus memperhebat operasi pemadaman darat dan udara serta memperketat penguatkuasaan undang-undang bagi menangani krisis kebakaran hutan dan lahan (Karhutla) yang sedang melanda negara tersebut.  

Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kuching menerusi satu kenyataan media rasmi pada Khamis memaklumkan, fokus utama operasi kini tertumpu di enam wilayah keutamaan iaitu Kalimantan Tengah, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Selatan, Riau, dan Jambi. 

Bagi mempercepat proses tindak balas kecemasan, pihak berkuasa Indonesia telah menggerakkan seramai 43,951 anggota bersepadu ke lapangan untuk melaksanakan operasi pemadaman langsung, pembendungan api serta pemantauan risiko nyalaan semula.  

Usaha pemadaman di darat itu turut disokong oleh pengerahan 55 aset penerbangan, yang merangkumi 34 pesawat untuk operasi pengeboman air dan 19 pesawat bagi tujuan rondaan serta operasi pembenihan awan. 

Setakat jam 12.20 tengah hari pada 10 September, pihak berkuasa berjaya memadamkan kebakaran yang melibatkan 77,080.79 hektar kawasan, manakala operasi berterusan masih gigih ditumpukan di kawasan aktif seluas 1,742.16 hektar.  

Bagi membendung perbuatan tidak bertanggungjawab yang menyumbang kepada krisis ini, Polis Negara Indonesia telah mengambil tindakan drastik dengan membuka 200 laporan polis berkaitan insiden pembakaran. 

Setakat 7 September, seramai 138 individu telah ditahan sebagai suspek, manakala prosiding perundangan turut dimulakan ke atas lapan syarikat korporat yang disyaki mempunyai kaitan dengan insiden Karhutla. 

Langkah pencegahan komprehensif juga diperkukuh menerusi pengeluaran Instruksi Presiden (Inpres) No. 11 Tahun 2026 yang menegaskan larangan pembukaan tanah melalui pembakaran. 

Arahan tersebut turut mewajibkan syarikat konsesi untuk menyelenggara zon penampan sejauh lima kilometer serta menyediakan pasukan tindak balas kecemasan beserta kelengkapan jentera berat.  

Susulan pembakaran yang berterusan di beberapa wilayah, pemantauan sistem SiPongi masih merekodkan sebanyak 395 titik panas di seluruh negara setakat malam Rabu. 

Krisis jerebu tempatan ini telah menyebabkan Indeks Piawaian Pencemar Udara (ISPU) di daerah sekitar Kalimantan kekal pada tahap “Berbahaya” setakat 10 September. 

Kabupaten Kotawaringin Timur mencatatkan bacaan ISPU tertinggi pada 1,119 (PM10), diikuti oleh Kabupaten Kubu Raya pada 479 (PM10), Kabupaten Gunung Mas (407 PM2.5) dan Kota Pontianak (310 PM2.5).  

Indonesia memberi jaminan untuk terus memantau keadaan dari semasa ke semasa, dan orang awam boleh mengikuti laporan perkembangan Karhutla secara telus menerusi portal BNPB Karhutla Dashboard serta pangkalan data SiPongi+. 

Related Posts

KD Ganas, KD Serang dipindahkan ke MAWILLA 2

SANDAKAN – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerusi Markas Pemerintahan Armada Timur dengan kerjasama Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) melaksanakan perpindahan dua kapal, KD Ganas dan KD Serang ke…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Semua sekolah di Negeri Sembilan ditutup mulai esok susulan jerebu

SEREMBAN – Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Negeri Sembilan diarahkan ditutup mulai esok susulan keadaan jerebu yang melanda negeri itu. Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS)…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

KD Ganas, KD Serang dipindahkan ke MAWILLA 2

  • By Ezmie
  • October 8, 2026
KD Ganas, KD Serang dipindahkan ke MAWILLA 2

Semua sekolah di Negeri Sembilan ditutup mulai esok susulan jerebu

Semua sekolah di Negeri Sembilan ditutup mulai esok susulan jerebu

Fasa dua projek tebatan banjir Kampung Rampayan perlu dipercepat

  • By Ezmie
  • October 8, 2026
Fasa dua projek tebatan banjir Kampung Rampayan perlu dipercepat

Selangor-Bersatu masih runding kerjasama, muktamad sebelum belanjawan negeri

Selangor-Bersatu masih runding kerjasama, muktamad sebelum belanjawan negeri

IPU lebih 180, semua sekolah dan institusi pendidikan KPM diarahkan tutup mulai esok

IPU lebih 180, semua sekolah dan institusi pendidikan KPM diarahkan tutup mulai esok

‎Kerajaan teliti kesan platform e-dagang terhadap peniaga fizikal, syarikat kurier tempatan

  • By Ezmie
  • October 8, 2026
‎Kerajaan teliti kesan platform e-dagang terhadap peniaga fizikal, syarikat kurier tempatan