
MIRI – Pameran Mini Hari Malaysia Bahagian Miri 2026 disifatkan sebagai platform penting dalam memperkukuh penghayatan masyarakat terhadap sejarah pembentukan negara serta pemahaman mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, pameran tersebut mendedahkan pelbagai dokumen penting berhubung kronologi penubuhan Malaysia.
Beliau menekankan bahawa asas pembentukan negara serta hak Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63 perlu dihayati sepenuhnya, khususnya oleh generasi pewaris.
“Ini penting bagi memastikan generasi muda kita menghargai perjuangan para tokoh terdahulu dan terus mempertahankan keharmonian yang telah kita bina bersama di bawah semangat perpaduan yang utuh,” katanya ketika merasmikan pameran tersebut di Bintang Megamall pada Khamis.
Mengulas lanjut, Lee menjelaskan bahawa tanggal 16 September bukan sekadar cuti umum, tetapi merupakan penanda aras sejarah kemajuan pembangunan.
Menurutnya, Miri sendiri telah melakar transformasi besar daripada sebuah pekan berasaskan industri minyak dan gas kepada sebuah hab ekonomi utama di wilayah utara Sarawak.
Kawasan tersebut kini giat dipacu menerusi pelbagai projek strategik berimpak tinggi termasuk Pembesaran Lapangan Terbang Miri, Projek Jambatan Marina, Projek Pembangunan Pelabuhan Miri di Kuala Baram serta Kenyalang Smart City.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kelestarian pembangunan amat berkait rapat dengan sistem perhubungan yang mantap.
Kerajaan negeri kini sedang menumpukan ke arah transformasi infrastruktur pengangkutan darat, air dan udara yang lebih moden, hijau serta inklusif bagi merapatkan jurang fizikal masyarakat antara bandar dan pedalaman.
Pameran kenegaraan yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan (JAPEN) Daerah Miri dengan usahasama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) itu diharap menjadi ruang pembelajaran yang berkesan untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan penduduk setempat.




