
KUALA LUMPUR – Pas seharusnya bersikap tegas meninggalkan sebarang pertemuan dalam menjatuhkan kerajaan bersama kuasa asing sebagai tanda bantahan, namun kegagalan berbuat demikian menimbulkan persoalan serius terhadap sikap parti Islam itu ketika mengadakan pertemuan bersama Kedutaan Amerika Syarikat (AS), seperti yang didedahkan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SEKPUR), Shahbudin Embun berkata, dakwaan wakil AS turut bertanyakan mengenai calon Perdana Menteri yang dicadangkan Pas sekiranya parti itu mengambil alih kerajaan menguatkan keperluan untuk siasatan dilakukan secara menyeluruh dan pragmatik.
Menurut beliau, pendedahkan yang dibuat Abdul Hadi bukan sekadar permainan politik, namun membabitkan aspek kedaulatan negara yang berkemungkinan campur tangan kuasa asing terlibat sehingga kini dalam memberikan tekanan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.
“Apabila mereka tahu kedatangan Amerika itu ada niat untuk campur tangan kepada Malaysia, mengapa Pas tidak keluar terus daripada kedutaan negara itu sebagai tanda proses. Ini adalah jenayah berdasarkan undang-undang negara didapati ada niat (menjatuhkan kerajaan) kerana Amerika tanya siapa Perdana Menteri (Pas) jika mereka beri bantuan kepada mereka ambil kerajaan Datuk Seri Najib Razak.
“Kami di SEKPUR terkejut kenyataan Tuan Guru Haji Hadi melampaui pemikiran saya dan ada rupanya di kalangan orang Islam yang sanggup pergi ke Kedutaan Amerika Syarikat Ini bukannya pendedahan sebenar yang bersifat positif, sebaliknya kini ia menunjukkan niat sebenar mereka. Siapakah Pas yang sebenarnya? Bagi saya, saya mahu pihak polis (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara memikirkan perkara ini secara serius.
“Kesalahan ini amat serius. Mereka mempunyai mens rea (niat jahat); niat itu sudah ada memandangkan mereka dipanggil ke sana semata-mata untuk dimaklumkan bahawa kerajaan Amerika bersedia membantu mereka sekiranya niat mereka adalah untuk menjatuhkan kerajaan ini.” katanya ketika ditemui media di hadapan IPD Dang Wangi, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Shahbudin menyifatkan tindakan Abdul Hadi itu semata-mata mahu menjadikan peluru politik pembangkang sebagai persediaan strategi Pas dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sehingga sanggup mendedahkan perkara yang tidak masuk akal bagi umat Islam dan kaum Melayu, bersengkokol dengan negara yang menyokong Israel.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Pertubuhan Media Digital Malaysia (MEMO) berpendapat, keperluan untuk pihak berkuasa yang terlibat menyelidik terperinci sejarah lampau Pas dalam meneliti sekiranya wujud sebarang dana diberikan kepada parti Islam itu semata-mata demi menjatuhkan kerajaan pada ketika itu.
“Selama ini, mereka memutar belit fakta, melemparkan kata hinaan kepada PMX, kononnya PMX pembohong dan pro Amerika walhal (apa didedahkan Pas) boleh dianggap rakan baik Amerika. Kalau boleh polis siasat semula aktiviti Pas agar kita tahu sejauh mana penglibatan mereka. Ini kali pertama dalam negara kita, sebuah parti Melayu yang didakwa profesional telah dipanggil secara terbuka dan ditanya, “Siapakah calon Perdana Menteri anda?”
“Jika sekarang mereka sanggup menerima bantuan untuk menjatuhkan negara kita, inilah hujah yang sangat tidak wajar. Sebab itulah saya merasa terkilan. Sebagai seorang Muslim dan orang Melayu, saya tidak menyangka parti politik Melayu Islam ini mendakwa diri mereka memperjuangkan Islam dan menganggap mereka yang tidak menyertai Pas seolah-olah kurang Islamik boleh bertindak sedemikian,” katanya.
Terdahulu, Abdul Hadi mendedahkan bahawa seorang wakil Kedutaan AS pernah bertanya kepadanya mengenai calon yang dicadangkan parti itu sebagai Perdana Menteri.
Presiden Pas itu mendakwa pertemuan berkenaan berlaku ketika Pas masih menjadi sebahagian daripada gabungan Pakatan Rakyat, sekitar waktu lawatan Presiden AS ketika itu, Barack Obama, ke Malaysia.
Abdul Hadi turut mendakwa Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Pas, Datuk Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum itu diberitahu oleh Duta AS bahawa kerajaan boleh dijatuhkan, dengan AS bersedia memberikan bantuan namun dua pemimpin itu tetap dengan pendirian mereka dan tidak terpengaruh dengan tawaran berkenaan.






