
PUTRAJAYA – Penguatkuasaan terhadap kes melibatkan pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik perlu dilaksanakan secara adil, berkadar dan berlandaskan undang-undang bagi memastikan penghormatan terhadap simbol negara dapat dipertahankan tanpa menjejaskan prinsip kedaulatan undang-undang.
Pakar perlembagaan Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Shahrul Mizan Ismail berkata, Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan dan maruah negara yang wajib dihormati, namun perkara itu tidak menghapuskan tanggungjawab pihak berkuasa untuk bertindak mengikut lunas undang-undang.
Beliau menegaskan, perdebatan mengenai isu terbabit timbul susulan beberapa insiden melibatkan pemasangan Jalur Gemilang yang menerima perhatian serta tindak balas berbeza daripada masyarakat dan pihak berkuasa.
“Dalam kes di Kulai, seorang pengawal keselamatan warga Nepal dan wanita tempatan ditahan, direman empat hari berhubung pemasangan Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik namun kejadian di premis MCA Perak, polis mengambil keterangan, manakala pihak itu mohon maaf, membetulkan kedudukan bendera dan menerima peletakan jawatan seorang kakitangan.
“Perbezaan ini menimbulkan persoalan yang sah, apakah asas yang membezakan keperluan tangkapan dan reman dalam satu kes daripada pendekatan yang lebih terukur dalam kes yang lain? Jawapannya tidak boleh disederhanakan kepada tuntutan supaya semua orang ditangkap,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.
Mengulas lanjut, Shahrul Mizan berkata, persoalan utama bukanlah identiti politik atau latar belakang individu yang terlibat, sebaliknya bergantung kepada bukti niat, keadaan kejadian, tahap kerjasama, risiko mengganggu siasatan serta keperluan sebenar untuk menahan seseorang.
Beliau yang juga Pensyarah kanan Fakulti Undang-Undang, UKM menjelaskan bahawa Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan menjamin kesamarataan di sisi undang-undang dan perlindungan undang-undang yang sama kepada semua pihak.

“Dalam Public Prosecutor v Datuk Harun bin Haji Idris [1976] 2 MLJ 116, Mahkamah Persekutuan menegaskan layanan berbeza memerlukan asas pengelasan yang munasabah dan hubungan rasional dengan tujuan undang-undang.
“Kesamarataan tidak bererti hasil penguatkuasaan mestilah seragam tanpa mengambil kira fakta; ia bererti ukuran undang-undang yang sama mesti digunakan secara jujur dan konsisten. Jika perbezaan layanan berpunca daripada perbezaan fakta yang nyata, ia wajar dijelaskan,” katanya.
Dalam pada itu, Shahrul Mizan berkata, sekiranya perbezaan tindakan berpunca daripada fakta yang berbeza, pihak berkuasa wajar menjelaskannya kepada masyarakat bagi mengelakkan timbul persepsi layanan tidak seimbang.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa reman tidak boleh dianggap sebagai hukuman awal kerana ia hanya dibenarkan bagi tujuan melengkapkan siasatan apabila siasatan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam selepas tangkapan.
“Permohonan reman mesti diasaskan pada keperluan siasatan yang khusus, bukannya kemarahan orang ramai atau hasrat untuk memberi pengajaran.
“Kebanyakan bukti dalam kes bendera rakaman kamera litar tertutup, gambar, hantaran media sosial, saksi premis dan bendera itu sendiri bersifat objektif dan boleh dipelihara dengan segera. Justeru, polis dan majistret wajar menilai sama ada penahanan berterusan benar-benar diperlukan,” katanya.
Beliau turut menekankan prinsip kesepadanan dalam penguatkuasaan undang-undang, iaitu tindakan yang diambil mestilah seimbang dengan tujuan siasatan, risiko sebenar yang wujud dan tahap kesalahan yang didakwa dilakukan.
“Begitu juga, setiap peruntukan disebut dalam siasatan mempunyai unsur tersendiri. Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) 1963 [Akta 414] memperuntukkan penalti bagi pelanggaran seksyen 3; ia bukan lesen umum untuk menghukum apa-apa kesilapan berkaitan bendera tanpa membuktikan perbuatan yang dilarang.
“Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 menyentuh kelakuan menghina dengan maksud menimbulkan pecah keamanan atau yang berkemungkinan membawa kepada pecah keamanan.
“Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan pula memerlukan penerbitan kenyataan atau khabar angin dengan niat, atau kemungkinan, menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam sehingga seseorang terdorong melakukan kesalahan terhadap negara atau ketenteraman awam.
“Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, sebagaimana dipinda, juga menuntut pembuktian sifat komunikasi dan niat yang ditetapkan oleh peruntukan itu. Fakta bahawa sesuatu imej menjadi tular tidak dengan sendirinya membuktikan semua unsur tersebut,” katanya.
Sementara itu, Shahrul Mizan berkata, pihak berkuasa juga perlu membezakan antara penghinaan yang dilakukan secara sengaja, kecuaian, kesilapan manusia atau kelemahan penyeliaan dalam sesuatu organisasi.
Jelasnya, permohonan maaf bukanlah imuniti daripada tindakan undang-undang namun, pembetulan segera, kerjasama penuh dan ketiadaan niat jahat merupakan faktor yang relevan dalam menilai tindakan yang sewajarnya
“Justeru, tuntutan yang wajar bukan ‘tangkap semua’ atau ‘lepaskan semua’. Tuntutannya ialah satu piawaian yang jelas: siasat semua aduan secara profesional, tangkap hanya apabila ada asas undang-undang, mohon reman hanya apabila benar-benar perlu
“Pada masa sama, jelaskan secara terbuka faktor material yang membawa kepada tindakan berbeza. Itulah cara mempertahankan Jalur Gemilang tanpa merendahkan prinsip yang dilambangkannya, kedaulatan undang-undang, keadilan dan kesetiaan kepada Perlembagaan,” katanya.






