
SUNGAI SIPUT – Polis Perak membongkar kegiatan perlombongan Bitcoin dipercayai menggunakan bekalan elektrik secara haram selepas merampas sebanyak 168 mesin perlombongan bersama pelbagai peralatan berkaitan dalam beberapa serbuan di Sungai Siput dan Perak Tengah.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kejayaan itu hasil tindakan bersepadu polis bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) susulan maklumat risikan, pemantauan dan siasatan yang dijalankan.
Beliau berkata, dalam operasi di Sungai Siput pada 31 Ogos lalu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Sungai Siput bersama TNB melancarkan tiga serbuan di beberapa lokasi sekitar daerah itu.
“Daripada tiga serbuan berkenaan, sebanyak 132 unit mesin perlombongan Bitcoin serta peralatan berkaitan telah dirampas.
“Dalam serbuan ketiga di Taman Alamanda pula, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang mempunyai lapan rekod jenayah lampau,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, di sini, pada Rabu.

Mohd Alwi berkata, tindakan turut dilakukan di daerah Perak Tengah yang membawa kepada rampasan 36 lagi mesin perlombongan Bitcoin.
Menurutnya, polis turut merampas sebuah router, sebuah desktop switch serta segulung kabel elektrik yang telah dipotong dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan.
“Secara keseluruhannya, sebanyak 168 unit mesin perlombongan Bitcoin bersama peralatan rangkaian dan kabel elektrik berkaitan telah dirampas dalam tindakan di kedua-dua daerah,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990.
Tegasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak memandang serius kegiatan perlombongan Bitcoin secara haram yang melibatkan penyalahgunaan atau kecurian bekalan elektrik.
“Kegiatan seperti ini bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada pembekal elektrik, malah turut mengundang risiko kebakaran dan membahayakan keselamatan orang awam serta premis berhampiran,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemilik premis, khususnya bangunan atau kediaman yang tidak berpenghuni dan premis yang disewakan kepada pihak lain, supaya meningkatkan pemantauan bagi mengelakkan hartanah mereka disalahgunakan untuk menjalankan kegiatan jenayah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan mencuri bekalan elektrik atau perlombongan Bitcoin secara tidak sah turut diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis dengan menghubungi balai polis berhampiran.






