PUTRAJAYA – Pengunjung Sambutan Hari Kebangsaan 2026 boleh menggunakan perkhidmatan teksi air secara percuma yang disediakan Perbadanan Putrajaya (PPj) pada 31 Ogos ini sebagai alternatif untuk ke Dataran Putrajaya.
Kemudahan berkenaan akan beroperasi selama tujuh jam bermula 5 pagi hingga 2 petang bagi memudahkan pergerakan orang ramai ke lokasi sambutan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, penyediaan perkhidmatan itu turut memberi peluang kepada pengunjung menikmati perjalanan di Tasik Putrajaya bersama keluarga.
“Tahun ini, bersempena dengan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, pihak Perbadanan Putrajaya menyediakan perkhidmatan teksi air secara percuma bermula dari 5 pagi hingga 2 petang pada 31 Ogos,” katanya kepada Bernama selepas meninjau persediaan pengoperasian perkhidmatan itu di sini, hari ini.
Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 berkata orang ramai digalakkan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan serta memanfaatkan sepenuhnya kemudahan pengangkutan air berkenaan.
Beliau berkata, pengunjung boleh meletakkan kenderaan di kawasan berhampiran terminal sebelum meneruskan perjalanan menggunakan teksi air ke tapak sambutan.
“Manfaatkanlah sepenuhnya peluang ini dan saya galakkan anda untuk merancang perjalanan, boleh parkir di tempat-tempat yang berdekatan dengan terminal dan anda boleh pergi ke tapak untuk menyaksikan perbarisan Hari Kebangsaan dengan selesa sambil healing di Tasik Putrajaya,” katanya.
Berdasarkan maklumat PPj, perkhidmatan Cruise Taxi percuma disediakan menerusi beberapa laluan bagi menghubungkan pengunjung dengan lokasi strategik di sekitar Putrajaya.
Laluan berkenaan merangkumi perjalanan antara Marina Putrajaya dan Anjung Floria serta Kelab Tasik Putrajaya dan Monumen.
Perkhidmatan turut disediakan antara Terra@8 dan Monumen dalam tempoh operasi yang sama, iaitu dari 5 pagi hingga 2 petang pada 31 Ogos.
Orang ramai disaran menyemak jadual perjalanan yang dikeluarkan PPj terlebih dahulu bagi mengetahui waktu keberangkatan setiap laluan dan menyusun perjalanan masing-masing dengan lebih lancar.
Kemudahan itu dijangka membantu mengurangkan kebergantungan pengunjung kepada kenderaan persendirian selain memberikan pengalaman berbeza kepada mereka yang hadir menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya.





