
PUTRAJAYA – Pengunjung yang bakal hadir menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya, Isnin ini disaran memakai pelitup muka N95 sebagai langkah melindungi diri daripada kesan jerebu.
Menteri Komunikasi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, saranan itu khususnya ditujukan kepada golongan berisiko termasuk kanak-kanak dan individu yang mempunyai asma.
Beliau berkata, penganjur turut menyediakan lebih 10,000 pelitup muka N95 kepada peserta sambutan bagi membantu mengurangkan risiko kesihatan akibat keadaan jerebu ketika ini.
“Sekiranya mereka (peserta) merasakan mereka perlu memakai (pelitup muka), mereka boleh pakai. Kita tidak paksa, tetapi terpulang pada individu.
“Jadi, kita sarankan kepada ibu bapa yang membawa anak-anak kecil ataupun mereka yang mempunyai asma boleh bawa pelitup muka, terutamanya N95,” katanya pada sidang media selepas raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, di sini hari ini.
Fahmi berkata, langkah berkenaan selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) berikutan keadaan jerebu yang melanda negara ketika ini.
Dalam masa sama, beliau berkata pasukan perubatan KKM ditempatkan di beberapa lokasi strategik di Dataran Putrajaya bagi memberikan rawatan segera sekiranya berlaku kecemasan.
“Kita ada lokasi-lokasi dengan doktor-doktor di bawah KKM ditempatkan untuk mengendalikan apa-apa kes kecemasan. Setakat ini, saya dimaklumkan bahawa semua pangkalan perubatan beroperasi dengan baik, tidak ada apa-apa masalah,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata, raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2026 hari ini berjalan lancar seperti dirancang.
Beliau berkata, seramai 823 pengamal media akan bertugas membuat liputan sambutan berkenaan, meningkat berbanding kira-kira 600 petugas pada tahun lalu.
“Ini satu peningkatan yang menggalakkan dan membanggakan … saya percaya tahun ini dari segi akses Internet tidak ada apa-apa masalah dan akan memudahkan rakan-rakan media membuat liputan,” katanya.
Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi Network Monitoring Centre bersama syarikat telekomunikasi turut memasang peralatan komunikasi tambahan di 102 lokasi penganjuran Hari Kebangsaan bagi memastikan kelancaran liputan.
Mengenai keselamatan, Fahmi berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini tidak memaklumkan sebarang insiden yang memerlukan perhatian.
“Jadi, aspek kawalan ketenteraman awam terjaga dan tidak ada apa-apa isu pada waktu ini,” katanya.
Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” akan berlangsung di Dataran Putrajaya, Isnin ini dengan jangkaan kehadiran lebih 80,000 pengunjung.





