Selepas tiga dekad, penyu agar menetas di Kelantan

PASIR PUTEH – Selepas kira-kira tiga dekad, Kelantan kembali merekodkan fenomena semula jadi penyu bertelur dan menetas di pantai negeri ini apabila sebanyak 183 anak hidupan laut itu ditemui di Pantai Pachakan di sini pada Ahad malam.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Kelantan, Ismail Ibrahim berkata, penemuan itu amat unik kerana pihaknya sudah lama tidak merekodkan penyu naik ke pantai Kelantan untuk bertelur secara semula jadi.

Menurut beliau, pihaknya menerima maklumat daripada komuniti nelayan myKomuniti Perikanan (myKP) Pasir Puteh mengenai kehadiran anak penyu jenis Agar di pantai berkenaan kira-kira jam 9 hingga 9.30 malam.

“Apabila tiba di lokasi, kita mendapati terdapat kira-kira 183 biji telur penyu. Sebanyak 156 anak penyu telah menetas dan hidup serta berjaya dilepaskan ke laut. Selebihnya telur-telur yang tidak menetas dan tidak matang.

“Kita kemudian menggali semula sarang berkenaan bagi memastikan tiada anak penyu yang tertinggal dan mendapati sebahagian telur tidak menetas,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Ismail memberitahu, penemuan berkenaan dipercayai menunjukkan ibu penyu naik ke pantai secara senyap tanpa disedari penduduk sebelum kembali ke laut selepas bertelur.

Katanya, apabila sampai waktunya, telur menetas dengan jayanya secara semula jadi.

“Anak-anak penyu itu kemudian keluar dari sarang dan bergerak ke arah laut, namun sebahagiannya dipercayai tertarik dengan cahaya dari kawasan berhampiran pantai,” katanya.

“Selepas ini, Jabatan Perikanan akan mempergiatkan kempen kesedaran supaya masyarakat mengetahui kepentingan melindungi penyu dan habitatnya

“Kami memohon orang ramai agar peka dengan kehadiran spesis terancam itu dan jika menemuinya laporkan terus kepada Jabatan Perikanan,” katanya.

Tambah Ismail, sebelum ini pihaknya lebih banyak merekodkan kes penyu terdampar termasuk yang mati, namun kejadian penyu bertelur secara semula jadi seperti itu sudah lama tidak direkodkan.

“Lebih kurang tiga dekad kita tidak merekodkan penyu bertelur di pantai Kelantan. Jadi, penemuan ini adalah sesuatu yang unik dan kita perlu lebih peka selepas ini,” katanya.

Related Posts

Pemuda Amanah Perak gesa SPRM teliti kewajaran kekayaan anak-anak Azeez

IPOH – Pemuda Parti Amanah Perak menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti sumber kekayaan yang dikaitkan dengan anak-anak bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Anwar ke New Delhi sertai Sidang Kemuncak BRICS ke-18

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berangkat ke New Delhi, India malam ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18, selepas selesai lawatan kerja beliau di Sabah.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pemuda Amanah Perak gesa SPRM teliti kewajaran kekayaan anak-anak Azeez

Pemuda Amanah Perak gesa SPRM teliti kewajaran kekayaan anak-anak Azeez

Anwar ke New Delhi sertai Sidang Kemuncak BRICS ke-18

Anwar ke New Delhi sertai Sidang Kemuncak BRICS ke-18

Mahfuz saran Zahid tidak bawa ‘politik budak-budak’ ke Putrajaya

Mahfuz saran Zahid tidak bawa ‘politik budak-budak’ ke Putrajaya

Wawasan tembusi tiga bahagian Bersatu Perlis

Wawasan tembusi tiga bahagian Bersatu Perlis

Dua kenderaan bertembung, dua maut

Dua kenderaan bertembung, dua maut

Pertikai istilah Kerajaan MADANI hanya helah UMNO mahu PRU16 disegerakan

Pertikai istilah Kerajaan MADANI hanya helah UMNO mahu PRU16 disegerakan