PERDANA Menteri Datuk, Seri Anwar Ibrahim akan terus berusaha melakukan perubahan dan islah terhadap Malaysia dengan menjadikan strategi Rasulullah SAW dalam mendirikan pentadbiran baharu di rantau Arab lebih 14 kurun sebagai rujukan.
Menerusi hantaran di Facebook pada Isnin sempena sambutan Maulidur Rasul pada Selasa, Anwar berkata, tidak mudah membangunkan sebuah negara majmuk di Asia Tenggara pada abad ke-21 dengan segala kemelut dan simpang-siur politiknya namun beliau akan terus berusaha melakukan yang terbaik untuk Malaysia.
Beliau yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, strategi Nabi Muhamad SAW kekal menjadi rujukan.
“Hari ini, strategi Baginda SAW kekal menjadi rujukan. Tentunya tidak mudah membangunkan sebuah negara majmuk di Asia Tenggara pada abad ke-21 ini dengan segala kemelut dan simpang-siur politiknya.
“Namun kita akan terus berusaha, selagi kudrat dan masa masih tersisa, bagi melakukan perubahan dan islah menggunakan kuasa yang diamanahkan Allah SWT,” katanya sempena Maulidur Rasul di media sosialnya, pada Isnin.
Menurut Anwar, setiap pemimpin pastinya mendambakan yang terbaik buat seluruh rakyatnya dan beliau juga begitu.
“Semoga Allah SWT terus memberkati tanah air kita, dan rakyatnya dirahmati dengan kasih sayang dan rezeki yang berkat,” katanya.
Terdahulu Anwar mengenang sirah dan jerih perih Nabi SAW mendirikan pentadbiran baharu di rantau Arab lebih 14 kurun yang lalu.
“Selepas usaha islah penat lelah selama sedekad, Madinah yang Baginda suburkan dengan tatanan adil dan ihsan berhasil memaculkan rakyat dengan akal budi dan akhlak yang tinggi.
“Ternyata paradigma syariah telah merubah sahsiah dan minda mereka dengan kesedaran ketuhanan dan kematangan sosial,” ujarnya.
Pertembungan tajam Aus dan Khazraj yang sekian lama menggoncang Yathrib dilebur dalam semangat perpaduan Ansar demi kestabilan, menghapus curiga dan kegelisahan kaum yang menghambat kemajuan.
“Keperluan asas harus terjamin dan keamanan nyata amat penting. Iktikad ini menjadi syarat terjaminnya daruriyat dalam Maqasid Syariah seperti yang diungkap Muhammad Imarah.
“Di Madinatun Nabi yang serba rahmah itu, yang miskin dibantu, yang lemah disantuni, yang berbeza masing-masing diberi ruang. Amalan monopoli disingkir demi pemerataan ekonomi yang lebih saksama, sementara utusan dihantar keluar dengan mesej membina tatanan yang lebih aman dan adil,” katanya.





