
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) diseru memberikan penjelasan sewajarnya mengenai status siasatan yang pernah melibatkan beberapa pegawai kanan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya memahami bahawa seseorang yang ditahan, direman atau disiasat tidak bermaksud telah melakukan sesuatu kesalahan dan prinsip seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya hendaklah dihormati.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan, setelah lebih dua tahun berlalu, timbul persoalan kepentingan awam mengenai apakah status sebenar siasatan tersebut dan apakah keputusan yang telah dibuat oleh institusi berkaitan.
“Rekod awam dan laporan media menunjukkan beberapa pegawai kanan KADA pernah ditahan dan direman bagi membantu siasatan SPRM pada sekitar April dan Mei 2024.
“SPRM diharapkan dapat memberi penjelasan, termasuk sama ada kertas siasatan telah diselesaikan, pernah dirujuk pada pihak Pendakwa Raya, diarahkan siasatan lanjut, diputuskan tiada tindakan lanjut atau masih dalam pertimbangan,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Isnin.
Menurut Jais, MCW turut berpandangan KPKM dan KADA sewajarnya menjelaskan aspek tadbir urus berkaitan proses yang membolehkan pegawai yang pernah dikaitkan dengan siasatan berkenaan kembali menjalankan tugas.
“Kami tidak mempersoalkan hak mana-mana individu untuk dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Yang dipersoalkan MCW ialah status proses, apakah hasil siasatan yang telah dijalankan dan apakah keputusan institusi yang berkaitan,” katanya
Mengulas lanjut, Jais memaklumkan, MCW menerima beberapa maklumat berkaitan dakwaan salah laku dan kemungkinan campur tangan pihak tertentu dalam proses siasatan.
“Namun, pihaknya tidak akan menjadikan khabar angin sebagai fakta selain tidak mempunyai bukti bebas mencukupi untuk mengesahkan dakwaan berhubung jumlah kes tertentu atau dakwaan bahawa mana-mana individu serta parti politik menghalang proses siasatan dan pendakwaan.
“Sekiranya terdapat bukti mengenai campur tangan terhadap proses penguatkuasaan, perkara itu sudah tentu amat serius dan perlu disiasat secara bebas. Tetapi tuduhan sedemikian tidak boleh dibuat hanya berdasarkan andaian atau khabar angin,” katanya.
Sehubungan itu, Jais menyeru agar SPRM, Jabatan Peguam Negara, KPKM dan KADA supaya memberikan penjelasan yang boleh diberikan kepada masyarakat tanpa menjejaskan kerahsiaan mana-mana siasatan.
“Ketelusan mengenai status sesuatu siasatan bukan sahaja penting untuk kepentingan awam, malah penting bagi melindungi reputasi individu yang pernah disiasat sekiranya mereka sebenarnya telah dibersihkan daripada sebarang salah laku.
“MCW akan terus mengikuti perkembangan perkara ini dan menilai sebarang maklumat serta dokumen yang diterima secara objektif. Perjuangan menentang rasuah mesti berasaskan bukti, keberanian dan keadilan,bukan khabar angin atau kepentingan politik,” katanya
Sebelum ini itu, Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain ketika dihubungi berkata, kes berkenaan masih berjalan dan dalam siasatan.
“Mereka boleh bekerja kerana kes tidak jatuh hukum dan tidak didapati bersalah lagi,” katanya.





