
PUTRAJAYA – Pengiktirafan Dasar Satu China sejak pentadbiran Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein tidak seharusnya ditafsirkan sebagai kecenderungan Malaysia memilih satu blok kuasa besar.
Penganalisis hubungan antarabangsa dan keselamatan Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, pendekatan itu bertujuan memperluaskan ruang strategik negara dalam suasana Perang Dingin, selain mengimbangi pengaruh kuasa besar dan mengelakkan Asia Tenggara terus menjadi medan persaingan geopolitik.
Menurut beliau, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Taiwan perlu dilihat dalam konteks perubahan persekitaran keselamatan serantau, khususnya perkembangan ketenteraan di Pulau Balabac, Filipina yang semakin menjadi lokasi strategik kerjasama pertahanan antara Manila dan Amerika Syarikat.
“Kenyataan PM (Anwar) yang dilihat lebih tegas mempertahankan kedudukan China terhadap Taiwan boleh dianggap sebagai strategic signalling kepada Beijing namun, cabarannya ialah memastikan pendirian terhadap Dasar Satu China tidak ditafsirkan sebagai sokongan terhadap penggunaan kekerasan oleh China.
“Malaysia boleh menghormati Dasar Satu China tanpa memberikan ‘blank cheque’ kepada Beijing untuk bertindak secara ketenteraan terhadap Taiwan, selain pengukuhan kehadiran ketenteraan Filipina-AS di Balabac tidak semestinya bermaksud Malaysia sedang diancam.
“Namun, dari sudut keselamatan, peningkatan keupayaan ketenteraan berhampiran Sabah tetap mengubah strategic environment dan meningkatkan risiko salah perhitungan sekiranya berlaku konflik lebih besar di Indo-Pasifik,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Isnin.
Mengulas lanjut, Nur Ashikin berpandangan, isu yang lebih penting bukan sama ada kerajaan meneruskan Dasar Satu China, tetapi bagaimana dasar itu dilaksanakan tanpa menjejaskan kebebasan Malaysia menentukan pendirian terhadap isu keselamatan dan kepentingan strategiknya sendiri.
Menurut beliau, warisan Tun Razak perlu difahami bukan sekadar sebagai usaha mendekati China, tetapi sebagai usaha memperluas ruang strategik Malaysia tanpa kehilangan autonomi. dengan memastikan hubungan yang semakin rapat dengan Beijing tidak menyebabkan ruang tersebut semakin sempit dengan negara lain.
“Dari perspektif diplomasi antarabangsa, mengiktiraf Dasar Satu China tidak secara automatik bermaksud Malaysia menyokong penggunaan kekerasan oleh Beijing terhadap Taiwan. Ini merupakan garis pemisah yang sangat penting.
“Malaysia boleh berpegang kepada Dasar Satu China, tidak menyokong kemerdekaan Taiwan dan pada masa yang sama menegaskan bahawa sebarang pertikaian perlu diselesaikan secara aman. Anwar perlu menggunakan diplomasi untuk memastikan hubungan dengan China tidak menghasilkan strategic overdependence,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Ashikin berkata, walaupun Malaysia melihat dirinya sebagai sebuah negara yang mengamalkan pendekatan seimbang melalui kerjasama dengan China, Amerika Syarikat, Jepun serta kuasa lain, kenyataan politik yang terlalu memihak kepada Beijing boleh mewujudkan tanggapan berbeza dalam kalangan komuniti antarabangsa.
“Persepsi adalah sebahagian daripada realiti strategik. Malaysia boleh mengatakan bahawa ia berkecuali, tetapi jika negara lain melihat Kuala Lumpur semakin menyebelahi Beijing dalam isu sensitif, kredibiliti dasar luar negara boleh terjejas. Kekuatan Malaysia terletak pada keupayaannya mengekalkan hubungan baik dengan semua kuasa besar tanpa menjadi terlalu bergantung kepada mana-mana pihak.
”Oleh itu, kepentingan Malaysia bukan memilih China atau Amerika Syarikat, tetapi mengekalkan strategic autonomy. Perkembangan Balabac seharusnya menjadi peringatan bahawa Malaysia perlu memperkukuh pertahanan Sabah, pemantauan maritim dan kesiapsiagaan keselamatan tanpa menyertai perlumbaan kuasa besar.
“Malaysia perlu dekat dengan semua kuasa besar secara diplomatik, tetapi bergantung kepada tiada satu pun kuasa besar secara strategik. Jika berlaku krisis Taiwan, Malaysia mesti mempunyai cukup ruang berunding dengan Beijing, Washington dan Manila, sambil memastikan keselamatan Sabah serta kepentingan nasional tidak menjadi mangsa persaingan kuasa besar,” katanya.
Terdahulu, Anwar mempertahankan kenyataannya mengenai Taiwan meskipun menerima reaksi balas, dengan menegaskan pendirian China mengenai isu berkenaan selari dengan pendirian Amerika Syarikat (AS) yang tidak membenarkan mana-mana wilayahnya berpisah.
Perdana Menteri berkata, Malaysia sudah mengamalkan Dasar Satu China sejak pentadbiran Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan akan terus mempertahankan pendirian itu.





