
PUTRAJAYA – Persembahan Human Graphic sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 akan tampil dengan lebih segar apabila menggabungkan 16 lagu daripada pelbagai genre termasuk lagu popular generasi Z (Gen Z), lagu tradisional dan muzik asli.
Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSSK) Kementerian Pendidikan (KPM), Ithnin Mahadi berkata, pemilihan lagu itu menjadi antara tiga kelainan utama persembahan tahun ini yang disifatkannya mempunyai ‘wow vibes’ berbanding tahun lalu.
Beliau memaklumkan, selain gabungan lagu pelbagai genre, persembahan turut menggunakan pelbagai prop seperti kompang dan trampolin bagi menambah elemen visual.
“Kelainannya untuk tahun ini, pertama dari segi genre lagu. Ada 16 lagu, maknanya gabungan lagu-lagu Gen Z yang terkini, lagu-lagu asli dan sebagainya.
“Keduanya kita selitkan penggunaan peralatan seperti kompang, trampolin dan sebagainya. Bila saya tanya pegawai yang menguruskan persembahan ini, mereka kata tahun ini lebih wow,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan Human Graphic di Dataran Putrajaya, pada Isnin.
Seramai 1,500 murid daripada 36 sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor terbabit dalam persembahan itu.
Mengulas lanjut, Ithnin berkata, latihan sudah bermula sejak Julai lalu apabila pelajar menjalani latihan di sekolah masing-masing sebelum digabungkan di tapak sebenar bagi fasa akhir persiapan menjelang 31 Ogos.
“Persembahan ini menjadi wadah untuk menzahirkan sebuah gambaran Malaysia yang hidup dalam suasana harmoni, bersatu, saling menghormati dan berkongsi kesejahteraan.
“Setiap gerakan, formasi, grafik, paluan dan kibaran Jalur Gemilang di padang diterjemahkan sebagai simbol bahawa kesejahteraan yang dinikmati oleh rakyat lahir daripada perpaduan, kepelbagaian, keharmonian dan semangat kebersamaan,” katanya.
Tambah beliau, di sebalik setiap grafik manusia yang terbentuk di teres, terdapat ribuan gerakan yang memerlukan disiplin, kesabaran dan kerjasama.
“Setiap paluan pula, terdapat semangat untuk bergerak dalam satu rentak. Begitu juga dengan Malaysia kesejahteraan hanya dapat dinikmati apabila rakyat bersatu hati, saling menghormati dan bersama-sama membina masa depan.
“Pasukan Human Graphic Kementerian Pendidikan tampil bukan sekadar sebagai pelengkap persembahan Hari Kebangsaan, tetapi sebagai cerminan jiwa rakyat Malaysia, berbeza warna, berbeza budaya dan berbeza latar, namun tetap mampu membentuk satu gambaran yang indah apabila bersatu,” katanya.





