
JERANTUT – Semangat kemerdekaan dan perpaduan komuniti terserlah menerusi penganjuran Hari Transformasi Komuniti Mukim Hulu Cheka 2026 di Kompleks Pentadbiran Mukim Hulu Cheka, Damak di sini, semalam.
Program anjuran i-KREATiF Mukim Hulu Cheka itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Lantikan) Pahang, Harris Salleh Hamzah.
Turut hadir Pegawai Daerah Jerantut, Sulaiman Husin dan Penghulu Mukim Hulu Cheka merangkap Penaung i-KREATiF Mukim Hulu Cheka, Khairul Akhma Yusof.
Bertemakan ‘Sihat Kreatif Lestari Berdaya Saing‘- program itu menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, remaja dan dewasa yang menyertai pelbagai aktiviti berbentuk kesihatan, pendidikan, kelestarian dan patriotisme.
Haris Salleh dalam ucapan perasmiannya berkata, kerjasama merentas agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat membuktikan pembangunan komuniti memerlukan penglibatan menyeluruh bagi memastikan kemampanan dan impak jangka panjang.

Antara tumpuan utama program adalah aspek kelestarian menerusi Recycle Stamp Art Contest yang menggabungkan unsur seni dan kitar semula.
Aktiviti itu memberi peluang kepada peserta muda menghasilkan karya kreatif menggunakan bahan terpakai.
Sebagai simbolik keprihatinan terhadap alam sekitar, majlis turut diserikan dengan sesi penanaman pokok dan pelepasan ikan oleh Harris Salleh.
Turut diadakan aktiviti seperti Kreatif Selera Merdeka menampilkan hidangan bertemakan kemerdekaan yang disediakan dari rumah, manakala Gemilang Busana mengetengahkan kreativiti peserta melalui busana patriotik dan beridentitikan Malaysia.
Program itu mendapat sokongan 18 agensi dan rakan strategik termasuk FAMA, Jabatan Perhutanan, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Perikanan, Jabatan Pertanian, Perpustakaan Awam Damak, Klinik Kesihatan Damak, Unit Farmasi Jerantut, Kolej Komuniti Jerantut, FELCRA Jaya Putra, Mentiga, SWCorp Jerantut, NADI Pekan Damak, Agrobank, AmBank, Farm Fresh, Unifi Business dan CelcomDigi.
Penganjuran program itu diharapkan menjadi platform berterusan bagi memperkukuh hubungan kejiranan, memupuk kreativiti masyarakat dan menyemarakkan semangat patriotisme selari dengan sambutan Bulan Kemerdekaan 2026.





