AYER KEROH – Perjuangan reformasi tidak boleh dikorbankan demi kepentingan politik meskipun Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu bekerjasama dengan pelbagai pihak demi kepentingan negara, kata Pengerusi Majlis Pimpinan (MPN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata, reformasi adalah sebahagian daripada perjalanan perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diperjuangkan sejak berada dalam kerajaan, ketika di luar kerajaan dan melalui pelbagai cabaran politik.
Katanya, agak menghairankan apabila ada pihak yang sebelum ini menentang PH dan perjuangan reformasi, namun kini tampil menuntut supaya Anwar melaksanakan agenda berkenaan.
“Tidak ada masalah dengan perjuangan tersebut dan saya setuju bahawa reformasi mesti diteruskan dan mesti dilaksanakan.
“Tetapi jangan kita lupa sejarah, jangan kita lupa siapa yang memulakan perjuangan dan siapa yang membayar harga paling mahal,” katanya ketika dalam Ucapan Penggulungan pada hari kedua Kongres Nasional PKR di Melaka International Trade Centre (MITC) di sini, hari ini.
Aminuddin berkata, rakyat sememangnya berhak menuntut perubahan dan mempersoalkan pelaksanaan reformasi, namun perkara itu perlu dilihat berdasarkan konteks sebenar pentadbiran kerajaan ketika ini.
Katanya, apabila PKR mengambil alih kerajaan, gabungan itu tidak mewarisi sistem yang kosong, sebaliknya berdepan institusi, budaya pentadbiran, undang-undang serta pelbagai amalan yang sudah terbina sejak puluhan tahun.
“Pada masa sama, kita bertapak dalam sebuah kerajaan gabungan yang terbentuk melalui rundingan dan persefahaman antara empat parti yang mempunyai sejarah dan perkembangan politik berbeza.
“Namun semua ini tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak bertindak. Saya percaya rakyat tidak mahu mendengar alasan, rakyat mahu melihat tindakan,” katanya.
Beliau berkata, selepas kerajaan mencapai tahap kestabilan politik, rakyat kini mahu melihat perubahan yang lebih jelas menerusi pelaksanaan agenda reformasi.
“Rakyat mahu kerajaan yang berbeza daripada kerajaan sebelum ini. Rakyat mahu mendengar reformasi ini bukan hanya disebut dalam manifesto atau ceramah, tetapi benar-benar berlaku dalam politik.
“Kita perlu bergerak daripada kestabilan kepada keberanian, daripada pembetulan kepada perubahan dan daripada janji reformasi kepada pelaksanaan,” katanya.
Aminuddin berkata, pengumuman mengenai pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) selepas lebih lima dekad serta usaha mendapatkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) menunjukkan reformasi sedang berjalan.
Bagaimanapun, katanya, usaha itu perlu dipercepatkan, diperluaskan dan dilaksanakan secara lebih menyeluruh.Dalam pada itu, Aminuddin berkata, PKR tidak seharusnya hanya menjadi parti yang mempertahankan kerajaan, sebaliknya perlu memastikan kerajaan terus berada di landasan reformasi.
“Kita mesti menjadi suara hati kerajaan, menjadi pengingat di peringkat kerajaan dan parti. Kita mesti berani mengatakan bahawa apa yang dilaksanakan masih belum mencukupi,” katanya.
Beliau turut mengingatkan anggota parti supaya memahami sejarah perjuangan Anwar, termasuk kronologi peristiwa yang membawa kepada pemenjaraan Perdana Menteri serta perkembangan politik selepas itu.
Katanya, kefahaman mengenai sejarah perjuangan penting bagi memastikan anggota parti mampu mempertahankan perjuangan berkenaan berdasarkan fakta, dokumen dan ilmu, bukannya emosi semata-mata.
“Kalau anggota sendiri tidak memahami sejarah perjuangan parti dan presiden, bagaimana kita mahu menjelaskan perjuangan itu kepada rakyat? Bagaimana kita mahu menjawab fitnah?
“Saya tidak mahu anggota hanya mampu berkata ‘Anwar Ibrahim’. Saya mahu anggota kita mampu menjawab hujah dengan fakta dan sejarah, dengan dokumen, dengan ilmu dan dengan adab,” katanya.
Aminuddin berkata, anggota parti juga perlu memahami bahawa perjuangan politik tidak boleh dibina berdasarkan emosi, sebaliknya berasaskan pemahaman terhadap sejarah dan prinsip perjuangan.
“Kita boleh memaafkan pengkhianatan, tetapi kita tidak boleh membiarkan pengkhianatan terhadap perjuangan.
“Kita boleh bekerjasama dengan siapa saja demi kepentingan negara, tetapi kita tidak boleh menyerahkan prinsip kita.
“Kita boleh berkompromi dengan rakan politik, tetapi kita tidak boleh membiarkan cita-cita reformasi dikorbankan hanya kerana kepentingan politik,” katanya.
Beliau berkata, amanah kepada rakyat juga tidak seharusnya diukur berdasarkan jawatan kerana kedudukan politik boleh datang dan pergi, namun tanggungjawab terhadap rakyat dan generasi akan datang perlu kekal menjadi keutamaan.
Aminuddin turut menggesa anggota parti memperkukuh pemahaman mengenai sejarah perjuangan reformasi supaya mampu berdepan fitnah serta memberikan penjelasan yang tepat kepada masyarakat.
Ujarnya, perjuangan reformasi perlu diteruskan bukan sekadar atas nama atau kerana individu tertentu, sebaliknya berdasarkan pemahaman terhadap sejarah, prinsip dan matlamat perjuangan itu sendiri.



