
AYER KEROH – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menyampaikan amanat akhirnya sebagai pemimpin nombor dua parti itu pada ucapan penggulungan Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Dalam ucapan berkenaan, Nurul Izzah menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga PKR yang menjadi sumber kekuatan dan mendampinginya sepanjang perjalanan politik.
Beliau berkata, pengalaman berada dalam parti mengajarnya mengenai erti persahabatan, perjuangan dan kekuatan keluarga dalam menghadapi pelbagai cabaran.
Nurul Izzah turut berkongsi pengalaman menunaikan ibadah haji yang menurutnya membuka ruang untuk melihat kepelbagaian umat Islam dari seluruh dunia yang bersatu tanpa mengira warna kulit, bangsa dan latar belakang.
“Sepanjang perjalanan suci, saya bertemu dengan umat Islam daripada pelbagai negara. Mereka berbeza warna kulit, tetapi kita semua melaksanakan ibadah yang sama dan memperlihatkan semangat kesatuan serta persaudaraan,” katanya.
Beliau berkata, prinsip kesatuan itu perlu diterjemahkan dalam perjuangan membina Malaysia yang lebih inklusif dan memberi ruang kepada semua suara, termasuk dari Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, Malaysia juga tidak boleh melihat isu yang berlaku di negara lain sebagai sesuatu yang terpisah daripada kepentingan rakyat tempatan kerana dunia hari ini saling berkait dari aspek ekonomi, perdagangan, keselamatan dan kemanusiaan.
“Kalau rumah di hujung kampung terbakar, mungkin kita berada jauh dan asapnya belum sampai kepada kita. Tetapi akhirnya, api itu boleh memberi kesan kepada kita.
“Begitu juga dunia hari ini. Laluan perdagangan boleh terganggu, harga minyak dan barangan boleh meningkat dan kehidupan rakyat akhirnya menerima kesannya,” katanya.
Nurul Izzah turut merakamkan penghargaan kepada rakan seperjuangan dan anggota parti yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan politiknya.
“Satu perkara yang saya belajar, paling penting, keluarga adalah mereka yang sentiasa bersama kita,” katanya.
Terdahulu, pada 14 Ogos lalu, Nurul Izzah mengumumkan keputusan untuk melepaskan jawatan Timbalan Presiden PKR selepas memegang jawatan itu bagi satu penggal.
Beliau bagaimanapun menegaskan akan kekal sebagai anggota PKR dan meneruskan perjuangan reformasi bersama parti.






