Demi kestabilan politik, PKR tidak akan ‘ceraikan’ UMNO

AYER KEROH – PKR kekal komited mengekalkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan UMNO di peringkat Persekutuan demi menjamin kestabilan politik serta kemakmuran rakyat.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang keputusan berkaitan hala tuju kerjasama politik tidak seharusnya dibuat berasaskan kemarahan atau kepentingan tertentu, sebaliknya perlu didorong oleh kepentingan rakyat dan negara.

Menurut beliau, pembentukan Kerajaan Perpaduan sendiri tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa hikmah, kebijaksanaan serta kesedaran terhadap keperluan mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil.

“Apa pun keputusan, ia tidak boleh didorong oleh kemarahan, tetapi didorong oleh kepentingan rakyat dan negara. Kalau kita mahu membuat pilihan, kita harus lebih waras dan mesti ada hikmah serta kebijaksanaan.

“Rangkaian Kerajaan Perpaduan ini tidak mungkin wujud tanpa hikmah dan tanpa kesedaran serta kecintaan kepada negara yang inginkan politik yang stabil,” katanya dalam penggulungan pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), pada Ahad.

Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, beliau memilih kestabilan politik dan kemakmuran rakyat melalui pertumbuhan ekonomi sebagai asas kepada keputusan untuk meneruskan kerjasama dengan BN dan UMNO.

“Saya dipertanggungjawab untuk membuat pilihan dan saya pilih kestabilan. Saya pilih kemakmuran rakyat melalui pertumbuhan ekonomi dan saya pilih untuk bekerjasama terus dengan Barisan Nasional dan UMNO di peringkat Pusat supaya dua prinsip ini dapat diteruskan.

“Itu pilihan saya. Pilihan mereka, biar mereka jawab. Tetapi sebagai sebuah parti perjuangan, apa pun kita bersedia,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, hubungan peribadinya dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kekal baik dan menyakini sebarang isu antara kedua-dua pihak boleh diselesaikan menerusi rundingan secara matang.

“Hubungan peribadi saya dengan Datuk Seri Zahid masih terlalu baik dan saya percaya kita boleh runding secara baik, secara sahabat serta mendengar sendiri pandangan masing-masing. Setakat ini, saya belum pernah mendengar satu pun pandangan negatif di peringkat Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat pelbagai dinamika dan pandangan berbeza di peringkat negeri, namun menegaskan setiap pihak perlu mengutamakan kebijaksanaan sebelum mengambil sebarang langkah.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menjelaskan, sebarang tindakan tidak boleh dibuat secara melulu sehingga menggugat perpaduan dan kestabilan yang telah dibina.

“Kita mahu kestabilan atau tidak? Politik yang kucar-kacir tidak akan membawa kebaikan kepada negara.

“Sebab itu, apa-apa langkah yang diambil jangan keterlaluan. Kita harus menjaga perpaduan ini secara waras dan penuh hikmah,” katanya.

Mengulas hubungan PKR dengan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan termasuk DAP dan Amanah, Anwar berkata, kerjasama politik perlu dilihat secara matang dengan mengambil kira kepentingan keseluruhan rakyat Malaysia.

Menurut beliau, kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal hak dan keistimewaan orang Melayu, namun pada masa sama hak serta kepentingan kaum lain sebagai rakyat Malaysia juga perlu dihormati.

“Kita tidak akan kompromi soal hak dan keistimewaan Melayu, tetapi Cina dan India juga sebahagian daripada rakyat yang memartabatkan negara.

“Sebab itu, kita akan teruskan kerjasama ini dan gunakan kebijaksanaan supaya apa sahaja langkah yang diambil tidak keterlaluan,” katanya.

Related Posts

‘Biar DAP habiskan persidangan dahulu’ – Anwar

AYER KEROH – “Biar habis persidangan DAP dahulu,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Itu adalah reaksi ringkas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya mengenai keputusan Persidangan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Jentera Pilihan Raya PKR akan dikelolai Amirudin Shari

AYER KEROH –  Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Amirudin Shari diberi mandat penuh dalam menentukan strategi dan gerak kerja parti bagi menghadapi pilihan raya akan datang. Presiden…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

‘Biar DAP habiskan persidangan dahulu’ – Anwar

‘Biar DAP habiskan persidangan dahulu’ – Anwar

Tahap integriti penjawat awam makin baik

Tahap integriti penjawat awam makin baik

Jentera Pilihan Raya PKR akan dikelolai Amirudin Shari

Jentera Pilihan Raya PKR akan dikelolai Amirudin Shari

Tian Chua sedia kembali ke PKR

Tian Chua sedia kembali ke PKR

Gempa bumi Sumatera: Pulau Pinang terkawal, tiada cedera

Gempa bumi Sumatera: Pulau Pinang terkawal, tiada cedera

Demi kestabilan politik, PKR tidak akan ‘ceraikan’ UMNO

Demi kestabilan politik, PKR tidak akan ‘ceraikan’ UMNO