
KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyambut baik keputusan kerajaan memansuhkan sepenuhnya Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), yang disifatkan sebagai antara reformasi penting dalam mengembalikan kebebasan mahasiswa.
Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, keputusan itu amat dinantikan dan selari dengan tuntutan yang diperjuangkannya sejak sekian lama, termasuk ketika beliau menjadi Ahli Dewan Rakyat.
“Saya sendiri secara peribadi amat mengalu-alukan dan amat gembira apabila Kerajaan membuat keputusan untuk memansuhkan sepenuhnya Akta AUKU. Ianya keputusan yang sudah lama tertangguh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemansuhan AUKU juga mempunyai kaitan rapat dengan sejarah perjuangan mahasiswa pada era 1970-an, termasuk penglibatan beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam gerakan mahasiswa ketika itu.
Menurutnya, AUKU diperkenalkan kerajaan selepas tercetusnya tunjuk perasaan berkaitan isu Baling pada Disember 1974 serta demonstrasi pelajar Institut Teknologi MARA (ITM) yang menuntut taraf universiti pada April tahun sama.
Ibrahim berkata, susulan peristiwa berkenaan, 11 pemimpin pelajar ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), termasuk beliau dan Anwar.
Katanya, selepas 60 hari ditahan untuk soal siasat, sembilan individu dibebaskan, manakala beliau dan Anwar terus ditahan di Kem Tahanan Kamunting, Taiping, Perak selama dua tahun sebelum dibebaskan pada Disember 1976.
Beliau berkata, pengalaman itu turut menjadi sebahagian daripada catatan dalam buku biografinya, Perjuangan Tanpa Noktah, yang menghuraikan latar belakang gerakan mahasiswa dan pelaksanaan AUKU.
Ibrahim berkata, sebelum AUKU diperkenalkan, mahasiswa menikmati ruang lebih luas untuk bersuara dan menganjurkan aktiviti tanpa campur tangan pihak pengurusan universiti.
Katanya, Kesatuan Mahasiswa ketika itu bebas mengurus kewangan serta menganjurkan pelbagai program, termasuk Sudut Pidato atau Speaker Corner.
“Kebebasan ini telah melatih para pelajar atau Mahasiswa memupuk semangat jati diri yang kuat dan luar biasa selain dari menimba ilmu di bilik kuliah.
“Pendedahan melalui penglibatan para mahasiswa tentang isu-isu yang membabitkan kepentingan rakyat serta negara telah menyediakan bakal graduan yang tidak kaku, yakin diri dan latihan berani menghadapi risiko serta ada daya kreativiti,” katanya.
Menurut beliau, kebebasan mahasiswa tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kerana ia dapat membentuk golongan muda yang berani, matang dan bertanggungjawab.
Ibrahim berkata, pemansuhan AUKU membolehkan Kesatuan Mahasiswa mempunyai ruang lebih luas untuk menentukan program serta menjemput mana-mana pihak menyampaikan ceramah dan pidato di kampus.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan pimpinan mahasiswa supaya menggunakan kebebasan berkenaan secara bertanggungjawab serta memastikan setiap keputusan dibuat melalui perbincangan dan konsensus.
“Pada ketika itu, Kesatuan Mahasiswa tidak diperalatkan oleh mana Parti Politik ataupun orang luar,” katanya.
Dalam pada itu, Ibrahim menyifatkan pemansuhan AUKU sebagai penyempurnaan kepada perjuangan idealisme gerakan mahasiswa yang turut pernah diperjuangkan Anwar sejak era 1970-an.
Pemansuhan itu juga dilihat berbeza daripada pendirian Anwar sebelum ini. Pada 2023, Perdana Menteri pernah menyatakan AUKU tidak perlu dimansuhkan sepenuhnya, sebaliknya beberapa peruntukan yang menyekat kebebasan mahasiswa dan ahli akademik boleh dipinda.
Bagaimanapun, kerajaan kini mengambil keputusan untuk memansuhkan akta berkenaan sepenuhnya, sekali gus membuka ruang baharu kepada agenda kebebasan dan autonomi mahasiswa.
“Alhamdulilah, dan tahniah pada seluruh warga mahasiswa dan mahasiswi serta terima kasih kepada PMX DSAI atas keputusan untuk memansuhkan AUKU. Perkara yang baik dan keputusan yang betul wajib kita hargai dan terima kasih,” katanya.






