
AYER KEROH – Ahli serta akar umbi generasi muda PKR harus menghayati sejarah dan asas perjuangan parti seperti yang terkandung dalam Deklarasi Permatang Pauh 1998 bagi memahami secara terperinci agenda reformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan persekutuan pimpinan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, gerakan reformasi itu menggariskan cita-cita perjuangan parti termasuk usaha membebaskan manusia, mengangkat kedudukan serta darjat manusia dan memperjuangkan keadilan.
Beliau berkata, deklarasi berkenaan turut merangkumi tujuh teras yang menjadi asas kepada perjuangan Keadilan, termasuk berkaitan bahasa dan budaya.
“Beliau (Anwar) merujuk kepada keperluan anak muda itu untuk memahami perjuangan parti-parti politik yang ada ni, dan khususnya Keadilan itu yang lahir daripada cita-cita dan juga tekad seperti mana yang termaktub dalam Deklarasi Permatang Pauh.
“Tentang soal membebaskan manusia, tentang soal mengangkat kedudukan dan juga darjat manusia, tentang soal keadilan, tentang soal bahasa, budaya, dan ada tujuh teras dalam Deklarasi Permatang Pauh itu.

“Jadi, kalau kita faham asal-usul apa yang kita perjuangkan, asal-usul wadah perjuangan ini, jadi kita boleh appreciate sebenarnya apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan pada hari ini,”katanya kepada The Malaysia Press (TMP) ketika ditemui pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), pada Sabtu.
Dalam pada itu, Muhammad Kamil berkata, dakwaan bahawa proses reformasi dilaksanakan kerajaan berjalan dengan perlahan dilihat tidak tepat berikutan perubahan yang dilakukan perlu berperingkat dan tidak boleh disemai secara terburu-buru.
“Ada yang mengkritik umpamanya melihat proses reformasi itu agak perlahan dan Datuk Seri Presiden telah memberikan peringatan kepada kita bahawa proses itu dia harus bertapak. Tidak boleh terburu-buru,
“Pada masa sama, reformasi terbabit tidak boleh gelojoh kerana itu akan memungkinan agenda perubahan yang kita ingin bawa itu terbantut di tengah jalan,’ katanya.






