Pelaburan TH: Mengapa risiko berkaitan Jho Low tidak dihalang?

PUTRAJAYA – Keputusan Tabung Haji (TH) meneruskan proses pembelian Putrajaya Perdana Bhd  pada 2014 dalam tempoh syarikat itu dikatakan masih berada di bawah kawalan Jho Low membuktikan wujudnya keraguan dan kelompangan pentadbiran ketika itu dalam membuat keputusan.

Penganalisis Sosiopolitik, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, perkara paling membimbangkan bukan semata-mata pelaburan itu menghasilkan keuntungan atau kerugian, namun sejauh mana proses penelitian dan penilaian risiko dilaksanakan, khususnya berkaitan struktur pemilikan dan pengaruh pihak tertentu.

Menurut beliau, keterangan bersumpah Pengarah Putrajaya Perdana, Datuk Rosman Abdullah dalam prosiding mahkamah berkaitan SRC International yang mengaitkan pengaruh Jho Low, terhadap syarikat itu sewajarnya menimbulkan persoalan serius terhadap tahap ‘due diligence’ dan proses kelulusan TH ketika itu.

“Dari perspektif keselamatan, ini bukan sekadar isu pelaburan biasa, tetapi menyentuh keselamatan kewangan dan keselamatan institusi kerana dana yang digunakan ialah wang pendeposit yang dikumpulkan atas dasar amanah.


“Apabila institusi strategik seperti TH terdedah kepada entiti atau rangkaian yang mempunyai risiko politik dan kewangan, kelemahan itu boleh menjadi satu bentuk ‘governance vulnerability’ yang akhirnya menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi negara,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.

Mengulas lanjut, Nur Ashikin berkata, sekiranya mekanisme semak dan imbang yang sepatutnya dilaksanakan gagal mengenal pasti atau menghalang pelaburan berisiko, keberkesanan sistem tadbir urus TH pada ketika itu wajar dipersoal.

Katanya, tadbir urus yang baik bukan sekadar mempunyai lembaga pengarah, jawatankuasa pelaburan, audit dan prosedur kelulusan di atas kertas, sebaliknya setiap mekanisme berkenaan perlu mempunyai kebebasan serta keberanian untuk menolak pelaburan yang membawa risiko tidak munasabah.

“Kalau semua lapisan semak dan imbang wujud tetapi keputusan yang berisiko masih boleh diteruskan, maka persoalannya ialah sama ada mekanisme tersebut benar-benar berfungsi atau hanya menjadi prosedur formal. Dalam perspektif keselamatan institusi, kegagalan sebegini amat serius.

“Ini kerana sebuah institusi kewangan yang menguruskan dana awam perlu mempunyai ‘institutional resilience’ tinggi untuk memastikan keputusan pelaburan tidak dipengaruhi oleh kepentingan politik, individu atau rangkaian perniagaan tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Ashikin berpandangan, pendedahan berkaitan TH juga tidak wajar dilihat semata-mata sebagai isu kerugian pelaburan susulan persoalan lebih besar adalah bagaimana sesuatu keputusan dibuat, siapa mempunyai pengaruh dan pihak yang akhirnya menanggung risiko.

Menurutnya, sekiranya benar wujud pengaruh pihak luar terhadap keputusan institusi yang sepatutnya bertindak secara profesional dan bebas, perkara itu perlu dilihat dari sudut institutional capture atau kelemahan institusi.

“Persoalan paling penting bukan sekadar berapa banyak wang yang hilang, tetapi siapa yang membuat keputusan, atas asas apa keputusan itu dibuat, siapa yang mendapat manfaat dan siapa yang akhirnya menanggung kosnya?

“Jika pendeposit menanggung risiko sedangkan pihak yang membuat keputusan tidak dipertanggungjawabkan, maka ia merupakan masalah akauntibiliti yang jauh lebih besar daripada sekadar kerugian kewangan.

“Membela Tabung Haji tidak bermaksud membela individu yang pernah menguruskan Tabung Haji. Sebaliknya, membela bermaksud memastikan wang pendeposit dilindungi, sistem semak dan imbang diperkuatkan dan tidak ada lagi ruang untuk mana-mana individu atau kelompok menggunakan institusi amanah untuk kepentingan mereka sendiri.

“Kalau benar ada pihak yang telah menyalah gunakan amanah pendeposit, jangan berlindung di sebalik agama, parti atau populariti tokoh.

“Amanah tetap amanah. Wang pendeposit tetap wang pendeposit dan sesiapa yang bertanggungjawab perlu menjawab kepada undang-undang dan rakyat,” katanya.

Mengulas kerugian RM10 bilion Tabung Haji pada tahun 2014 sehingga 2017, Nur Ashikin berpendapat, kerugian itu  bukan sekadar mencerminkan kos kegagalan tadbir urus, malah berpotensi memberi kesan lebih besar terhadap keyakinan pendeposit dan kredibiliti Lembaga Tabung Haji (TH).

“Sebagai ilustrasi, jika jumlah RM10 bilion dibandingkan dengan keperluan bantuan kewangan haji tahunan, nilainya boleh bersamaan dengan pembiayaan subsidi untuk jemaah bagi tempoh beberapa puluh tahun, bergantung kepada jumlah jemaah dan kadar bantuan pada setiap tahun.

“Malah, jika menggunakan angka bantuan sekitar RM210 juta setahun, RM10 bilion secara matematik kasar bersamaan hampir 48 tahun bantuan pada kadar tersebut.

“Namun, angka ini perlu difahami sebagai perbandingan nilai dan bukannya bermaksud RM10 bilion itu secara literal boleh disimpan dalam satu tabung dan digunakan untuk subsidi haji selama 48 tahun.

“Hakikat lebih penting ialah setiap ringgit hilang akibat keputusan pelaburan lemah merupakan peluang yang hilang untuk memperkukuh kedudukan kewangan TH, meningkatkan manfaat kepada pendeposit dan membantu lebih ramai jemaah daripada golongan berpendapatan rendah menunaikan ibadah haji,” katanya.

Related Posts

Laporan RCI TH akan diserah kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut

PUTRAJAYA – Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan menyeluruh berdasarkan segala dapatan dan maklumat yang terkandung dalam laporan itu.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Operasi serentak seluruh negara, 1,043 warga asing ditahan

KUALA LUMPUR – Seramai 1,043 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu yang dilaksanakan serentak di seluruh negara pada 10 dan 11 Ogos lalu. Operasi berkenaan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PSG angkat Piala Super, tewaskan Villa

PSG angkat Piala Super, tewaskan Villa

Pelaburan TH: Mengapa risiko berkaitan Jho Low tidak dihalang?

Pelaburan TH: Mengapa risiko berkaitan Jho Low tidak dihalang?

Tangki minyak ‘menyamar’ jadi tayar ganti, helah seludup petrol terbongkar

Tangki minyak ‘menyamar’ jadi tayar ganti, helah seludup petrol terbongkar

Laporan RCI TH akan diserah kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut

Laporan RCI TH akan diserah kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut

UMNO Pahang terbuka jalin kerjasama dengan mana-mana parti

UMNO Pahang terbuka jalin kerjasama dengan mana-mana parti

Operasi serentak seluruh negara, 1,043 warga asing ditahan

Operasi serentak seluruh negara, 1,043 warga asing ditahan