
PARIS Saint-Germain (PSG) meneruskan penguasaan di pentas Eropah apabila menewaskan Aston Villa 2-1 untuk mempertahankan Piala Super di Salzburg, Austria, awal pagi tadi.
Gol Khvicha Kvaratskhelia dan Desire Doue memastikan juara Liga Juara-Juara Eropah itu menambah satu lagi trofi selepas menewaskan juara Liga Europa, Villa dalam aksi sengit berkenaan.
Kvaratskhelia membuka tirai jaringan pada minit ke-20 menerusi rembatan menarik sebelum penyerang muda Villa, Brian Madjo, menyamakan kedudukan pada penghujung babak pertama.
Doue kembali meletakkan PSG di depan pada minit ke-61 dan kali ini Villa gagal mencari gol penyamaan untuk kali kedua.
Kemenangan itu menyaksikan PSG menjadi pasukan ketiga selepas AC Milan dan Real Madrid yang berjaya mempertahankan Piala Super.
“Kami sentiasa dahagakan kejayaan dan mahukan lebih banyak lagi,” kata Doue.
“Selepas final Liga Juara-Juara, saya katakan kami mahukan lebih laagi. Kami mempunyai cita-cita, kami pasukan muda dan mahu memenangi segala-galanya sekali lagi musim ini.”
Walaupun sebahagian besar pemainnya baru kembali daripada tugasan Piala Dunia, pengendali PSG, Luis Enrique menurunkan barisan ampuh dengan sembilan pemain yang beraksi dalam kesebelasan utama ketika kemenangan di final Liga Juara-Juara.
PSG dilihat perlu mengambil sedikit masa untuk mendapatkan rentak permainan sebelum Kvaratskhelia mula mengucar-ngacirkan pertahanan Villa.
Selepas penjaga gol Villa, Marco Bizot menyelamatkan percubaan Doue, pemain sayap itu kemudian menghantar bola kepada Kvaratskhelia di dalam kawasan penalti.
Pemain Georgia itu berjaya memperdayakan Matty Cash sebelum melepaskan rembatan deras yang gagal diselamatkan Bizot.
Madjo, yang membuat penampilan sulung bersama Villa, beberapa kali hampir menyamakan kedudukan tetapi dua tandukannya tersasar manakala satu lagi percubaannya hanya mengena bahagian luar tiang.
Namun, beberapa saat sebelum rehat, kegigihan pemain berusia 17 tahun itu membuahkan hasil.
John McGinn melambungkan bola sebelum Madjo, yang dikawal ketat Willian Pacho, melakukan voli ke penjuru atas gawang.
Jaringan itu menjadikan Madjo penjaring termuda dalam sejarah Piala Super.
Enrique memasukkan Ousmane Dembele bagi menggantikan pemain baharu, Maghnes Akliouche, pada awal babak kedua.
Doue kemudian memastikan kemenangan PSG apabila memanfaatkan hantaran Dembele sebelum melakukan rembatan lencong menerjah penjuru gawang.
Jaringan itu pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid, namun pemeriksaan VAR mengesahkan gol berkenaan.
Villa menguasai permainan pada penghujung aksi tetapi PSG mempamerkan pertahanan kukuh untuk memastikan kemenangan.
Kejayaan itu menyaksikan Enrique meraih trofi ke-13 sejak menyertai PSG pada 2023, manakala pengendali Villa, Unai Emery terus berdepan rekod buruk selepas tewas dalam kesemua empat penampilannya dalam Piala Super.





