
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuktikan keupayaan memperkasa integriti menerusi pelaksanaan skim pemulihan Lembaga Tabung Haji (TH) yang sebelum ini dikaitkan dengan kerugian hampir RM13 bilion.
Sehubungan itu, Felo Akademi Sains Malaysia, Profesor Dr Ahmad Ismail berpandangan agar Anwar meneruskan usaha ‘menggeledah’ dan ‘merawat’ badan berkanun lain seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi memastikan institusi berkenaan bebas daripada masalah tadbir urus.
Menurut beliau, kedua-dua agensi terbabit memiliki kepentingan besar dalam pembangunan orang Melayu, selain menjadi sebahagian daripada agenda yang ditekankan menerusi Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB), khususnya dalam aspek pendidikan dan keusahawanan.

“Bagi masa seterusnya dalam penggal ini dan insya-Allah dalam penggal kedua sebagai PM, Anwar disaran meneruskan geledah dan rawat FELDA dan MARA yang kita dengari sebelum ini mempunyai banyak masalah tadbir urus.
“Itulah kekuatan Anwar dan apa yang Malaysia perlukan, dasar anti rasuah yang beliau amalkan bukan sahaja menyelamatkan duit pembayar cukai dan para peneroka seperti dalam kes FELDA, Anwar diperlukan lagi untuk membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi,” katanya menerusi kenyataan, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, langkah tersebut penting selepas kerajaan memberi penekanan terhadap pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Lebih 360 sekolah FELDA perlu diberikan perhatian sesuai dengan matlamat penubuhannya dan resolusi KEB, begitu juga dengan MARA. Pencapaian pembangunan dalam pendidikan dan keusahawanan mesti diaudit.

“Perkara ini perlu dilakukan Perdana Menteri bersesuaian dengan perjuangan beliau membasmi kemiskinan melalui pendidikan dan keusahawanan,” katanya.
Terdahulu, Anwar memaklumkan, sebaik kembali menerajui pentadbiran negara, beliau menerima laporan bahawa FELDA menanggung kerugian hampir RM10 bilion akibat salah urus serta campur tangan politik yang berlebihan.
Sementara itu, Ketua Pengarah MARA, Datuk Seri Azhar Abdul Manaf dilaporkan menjelaskan kerugian Mara Inc bernilai RM286.30 juta yang terkumpul dari 2012 hingga 2022, seperti dapatan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024.
Beliau memaklumkan, perkara terbabit berpunca daripada pembelian aset luar negara, khususnya di Australia dan United Kingdom (UK) antara 2012 hingga 2014.






