APABILA Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji didedahkan, kita melihat satu perkara yang agak pelik.
Menurut Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, apabila kita bercakap tentang kelemahan pengurusan Tabung Haji, ada pimpinan politik Melayu yang mendakwa bahawa kerajaan sedang menghina dan menjatuhkan imej Melayu.
Soalnya, sejak bila membongkar kelemahan seorang individu bermakna menghina seluruh bangsa Melayu?
Katanya, kalau seorang Melayu melakukan kesalahan, adakah kita mesti menutup kesalahannya hanya kerana dia Melayu?
“Kalau begitu, kita bukan sedang membela Melayu. Kita sedang menggunakan nama Melayu sebagai perisai untuk melindungi kesalahan manusia.
“Kalau bumbung rumah bocor, jangan marah orang yang menunjukkan lubangnya. Baiki bumbung itu. Kalau tidak, kerana mahu menjaga nama tukang yang membinanya, akhirnya satu rumah boleh tenggelam,” ujarnya.
Begitu juga dalam isu Tabung Haji. Jangan kerana mahu menjaga nama orang yang pernah mengurus Tabung Haji, kita sanggup membiarkan pendeposit terus menanggung risiko.
Katanya lagi, Laporan RCI mengenai Lembaga Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020 mendedahkan persoalan serius berkaitan tadbir urus, termasuk campur tangan politik dalam urusan pentadbiran, pelantikan Lembaga Pengarah, keputusan pelaburan serta penetapan kadar agihan keuntungan (hibah) yang didakwa tidak selari dengan kedudukan kewangan sebenar.
“Dokumen RCI juga mendedahkan bahawa bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff yang ditamatkan pada 5 Mei 2021 dan bekas Pengerusi TH, Tan Sri Md Nor Md Yusof yang ditamatkan pada 15 Oktober 2021 telah diberhentikan sebelum tempoh kontrak masing-masing berakhir.
“Persoalannya, apakah tindakan tersebut telah menjejaskan usaha pembaikan dan pemulihan tadbir urus Tabung Haji yang sedang berjalan ketika itu?
“Di bawah Seksyen 6(5) Akta Tabung Haji 1995, Menteri mempunyai kuasa untuk membatalkan pelantikan ahli Lembaga pada bila-bila masa tanpa perlu memberikan sebab,” katanya.
Namun, kuasa yang diberikan oleh undang-undang tetap perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan mengambil kira kepentingan institusi.
Jelasnya lagi, jika kuasa tersebut digunakan secara sewenang-wenangnya, ia boleh menjejaskan kestabilan, kesinambungan reformasi dan tadbir urus sebuah institusi yang mengurus amanah jutaan pendeposit.
“Jadi saya ingin bertanya adakah RCI juga sedang memburukkan Melayu? Sudah tentu tidak.
RCI sedang berusaha membetulkan sistem.
Dan dalam perkara ini, pendepositlah yang mesti kita bela.
“Kita jangan lupa siapa sebenarnya yang paling terkesan apabila tadbir urus gagal. Bukan PH.
Bukan PAS. Bukan UMNO. Yang paling terkesan ialah pendeposit Tabung Haji,” katanya.
Tambah Mahfuz lagi, mereka bukan menyimpan wang kerana mahu menjadi kaya.
Ada makcik yang menyimpan RM10, RM20 atau RM50 setiap bulan.
Ada orang kampung yang menyimpan sedikit demi sedikit selama bertahun-tahun.
Ada ibu bapa yang menyimpan untuk anak-anak mereka. Ada anak yang menyimpan kerana mahu membawa ibu dan ayah menunaikan haji.
Mereka menyimpan kerana percaya wang mereka berada dalam sebuah institusi yang amanah.
“Maka apabila RCI mendedahkan kelemahan tadbir urus, persoalan utama kita bukan siapa yang menghina Melayu?”
“Persoalan yang jauh lebih penting ialah siapa yang menjaga wang dan amanah pendeposit?
Jangan songsangkan mangsa dengan pesalah.
Ini yang saya kira sangat penting untuk dijelaskan kepada rakyat,” katanya.
Membongkar kelemahan tidak bermaksud memburukkan institusi.
Sebaliknya, membetulkan Tabung Haji ialah cara kita mempertahankan Tabung Haji.
Kalau ada kelemahan, kita baiki.
Kalau ada pelaburan bermasalah, kita audit.
Kalau ada konflik kepentingan, kita hentikan.
Kalau ada salah laku, kita siasat.
Kalau terbukti bersalah, kita ambil tindakan.
Itulah prinsip tadbir urus yang bertanggungjawab.
Menurut bekas ahli Parlimen Pokok Sena itu, membongkar kesalahan seorang Melayu bukan menghina Melayu.
Menutup kesalahan atas nama Melayu itulah yang akhirnya merosakkan maruah Melayu.
” Kita tidak mempertahankan Melayu dengan menutup kelemahan.
” Kita mempertahankan Melayu dengan memastikan institusi yang dibina untuk kepentingan umat diurus dengan amanah, profesional dan berintegriti,” katanya.
Menyelamatkan Tabung Haji bukan menjual Melayu. Memulihkan Tabung Haji ialah menjaga amanah Melayu-Islam.




