KELEWATAN mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) selepas 33 bulan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) seharusnya dipersoalkan, kata Fello Majlis Profesor Negara, Prof Dr Azmi Hassan.
Beliau berkata, laporan berkenaan sepatutnya didedahkan lebih awal sekiranya ia sudah boleh dikeluarkan untuk tontonan umum, bukannya hanya diumumkan kerajaan untuk didedahkan pada 29 Julai lalu.
Azmi berkata, isu berkaitan TH sememangnya sensitif, namun keadaan itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk menangguhkan pendedahan laporan terlalu lama.
“Isu seperti TH itu adalah sensitif. Tiada masa yang sesuai, kecuali bagi kumpulan yang mempunyai agenda tertentu, mereka akan menunggu masa yang sesuai.
“Tetapi untuk mengambil masa 33 bulan baru dikeluarkan, dan itu pun pada ketika senario politik yang amat panas dan sensitif, ada orang akan menuduh ia bermotifkan politik. Ada kebenarannya,” katanya.
Beliau berkata, tindakan tidak mendedahkan laporan itu ketika ia dikatakan sudah boleh dikeluarkan kepada umum juga boleh menimbulkan persepsi bermotifkan politik.
“Apabila ia ditangguhkan, tidak dikeluarkan walaupun Suruhanjaya mengatakan laporan itu boleh dikeluarkan untuk tontonan umum, ia juga bermotifkan politik.
“Tetapi bagi rakyat, orang ramai umum, masa secepat mungkin dihebahkan ataupun dikeluarkan laporan itu adalah yang terbaik. Tidak kira sedang menghadapi pilihan raya atau isu sensitif, perkara itu adalah yang terbaik bagi orang umum,” katanya.
Azmi berkata, kerajaan yang berkuasa ketika itu mungkin mengambil kira pelbagai faktor termasuk kestabilan ekonomi dan kerajaan sebelum membuat keputusan berhubung laporan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, pertukaran kerajaan dan Perdana Menteri selepas itu mungkin turut menyebabkan proses pendedahan laporan RCI berkenaan mengambil masa.
“Jadi mungkin itu yang menyebabkan kelewatannya. Tapi hakikatnya isu sensitif perlu dikeluarkan secepat mungkin kerana 33 bulan baru dikeluarkan, itu dah satu keputusan yang terlampau lama walaupun kerajaan-kerajaan yang berbeza membuat keputusan,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 23 Julai memaklumkan kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir RCI berkenaan selepas mendapati kedudukan TH kini lebih kukuh dan stabil.
Jemaah Menteri kemudian bersetuju laporan itu dinyahklasifikasikan dan didedahkan kepada umum pada 29 Julai.




