
KOTA KINABALU – Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Ts Mustapha Sakmud meneruskan komitmennya menghargai kecemerlangan akademik apabila menganjurkan Anugerah Cemerlang Pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Parlimen Sepanggar bagi tahun keempat berturut-turut.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal (Sabah dan Sarawak) berkata, penganjuran anugerah itu bukan sekadar mengiktiraf pencapaian pelajar, malah menjadi platform menghargai pengorbanan guru, ibu bapa dan semua pihak yang memainkan peranan dalam melahirkan generasi cemerlang.
“Paling membanggakan apabila Sabah berjaya melahirkan Anugerah Murid Terbaik Kebangsaan STPM 2025 menerusi Ahmad Mursyied Umair Darwis dari SMK Agama Kota Kinabalu.
“Tahniah kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Kinabalu serta semua sekolah yang mempunyai tingkatan enam atas pencapaian yang sangat membanggakan pada tahun 2025,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang MADANI STPM 2025 di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu, pada Jumaat.

Menurut Mustapha, prestasi sekolah-sekolah tingkatan enam di Kota Kinabalu turut menunjukkan pencapaian cemerlang apabila Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu dinobatkan sebagai Kolej Tingkatan Enam Terbaik di Sabah dan peringkat kebangsaan.
“Seramai 783 calon menduduki peperiksaan STPM 2025 di daerah Kota Kinabalu dengan mencatat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 2.79, sekali gus melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kebangsaan.
“Daripada jumlah itu, seramai 12 pelajar dari Parlimen Sepanggar berjaya memperoleh PNGK 4.00, manakala 11 daripadanya merupakan pelajar Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu,” ujarnya.
Mustapha turut melahirkan rasa bangga terhadap peningkatan prestasi mata pelajaran aliran sains khususnya Kimia dan Biologi, yang menurutnya merupakan antara pencapaian paling menarik dalam keputusan STPM tahun ini.
Pada majlis itu, pelajar-pelajar cemerlang STPM turut menerima sijil penghargaan dan wang tunai sebagai pengiktirafan atas pencapaian cemerlang mereka.






