
PERBAHASAN sama ada amalan tahlil merupakan sebahagian daripada syariat atau sebaliknya tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mana-mana individu mempermainkan amalan itu sebagai senjata politik atau menyindir mana-mana pihak terutama orang bukan Islam.
Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil berkata, tindakan sebegini boleh menyemarakkan lagi api perkauman kerana amalan orang Melayu tidak seharusnya dijadikan bahan ejekan atau sindiran ke atas orang bukan Melayu, apatah lagi ia berkaitan amalan dalam Islam.
“Adalah malang dalam suasana politik hari ini apabila gelombang penyatuan umat cuba memesong pemikiran orang Melayu kononnya Islam terancam, tetapi Pas membisu berkaitan kenyataan Exco Pemuda UMNO tersebut.
“Demi kuasa, Pas tidak lagi bersuara dalam isu Islam seperti mana isu cabutan khas judi dinaikkan daripada 8 kepada 22 ketika memerintah bersama Perikatan Nasional dahulu,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.
Faiz turut menasihatkan supaya Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Zuhir Wan Ghazali menarik balik kenyataannya dan segera membuat permohonan maaf.
“Seharusnya, Exco Pemuda UMNO tersebut menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf di atas keterlanjuran kenyataan-kenyataan beliau berhubung amalan tahlil ini,” katanya.
Terdahulu, Wan Muhammad Zuhir memuat naik video di sosial media beliau dengan kapsyen “tengah tahlil atas pemakaman Loke di DUN Chennah”.
Hantaran itu dihujani kecaman banyak pihak, termasuk Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali yang menegaskan bahawa hantaran sedemikian bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah mencemarkan imej Islam sebagai agama yang mengajar adab, ihsan dan penghormatan terhadap maruah manusia.
Beliau menegaskan bahawa majlis keagamaan seperti bacaan tahlil tidak boleh diperalatkan sebagai bahan ejekan, sindiran atau senjata politik.
Susulan teruk dikecam, Exco Pemuda UMNO itu kemudian mempertahankan dirinya sendiri, mengatakan tahlil arwah bukan sebahagian daripada syariat Islam dan tiada nas sahih yang khusus daripada Rasullullah.
Justeru katanya, bagaimana mungkin beliau dituduh menghina kesucian agama Islam kalau ia tidak menyentuh langsung soal rukun Islam atau apa yang tertera pada nas dan syariat islam.






