Hajiji yakin Sabah mampu raih 40 emas pada SUKMA Selangor

KOTA KINABALU – Sabah menyasarkan kutipan 40 pingat emas pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 di Selangor menerusi persediaan rapi bagi memastikan kontinjen negeri mampu mencatat prestasi terbaik di temasya sukan kebangsaan itu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau yakin sasaran itu mampu dicapai dan menggesa seluruh kontinjen supaya berjuang habis-habisan mempertahankan maruah serta nama baik negeri di pentas sukan kebangsaan.

Beliau berkata, sasaran itu bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan keyakinan kerajaan negeri terhadap persediaan atlet, kepakaran jurulatih, pengurusan pasukan serta sistem pembangunan sukan yang dilaksanakan secara berterusan.

“Saya mahu setiap atlet percaya bahawa sasaran ini mampu dicapai. Kita mempunyai bakat, pengalaman dan semangat yang diperlukan.

“Yang penting, kita turun bertanding dengan keberanian, fokus dan tekad untuk memberikan yang terbaik,” katanya semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Sabah sempena Temasya SUKMA Ke-22 dan Para SUKMA Selangor 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Selasa.

Hajiji berkata, pencapaian kontinjen Sabah pada SUKMA Sarawak 2024 yang meraih 29 pingat emas, 36 pingat perak dan 55 pingat gangsa menjadi asas penting untuk meningkatkan prestasi pada temasya kali ini.

Sementara itu katanya, bagi Para SUKMA Selangor 2026, Sabah menyasarkan 66 pingat emas dan bertekad kembali muncul juara keseluruhan.

Menurut Hajiji, kontinjen SUKMA Sabah kali ini membabitkan 943 anggota yang terdiri daripada 744 atlet, 148 jurulatih dan 51 pengurus pasukan, selain akan mengambil bahagian dalam 36 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan.

“Bagi Para SUKMA pula, Sabah akan menghantar kontinjen seramai 271 orang, terdiri daripada 154 atlet, 80 jurulatih dan pegawai serta 37 anggota urus setia. Saya menaruh harapan agar sekurang-kurangnya 80 peratus atlet Para SUKMA berjaya membawa pulang pingat,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua atlet supaya berjuang sepenuh tenaga dengan semangat kesukanan yang tinggi bagi mengharumkan nama Sabah sepanjang temasya berlangsung.

Pada masa sama, Hajiji menegaskan disiplin mesti menjadi kekuatan utama setiap atlet kerana bakat tanpa disiplin tidak akan membawa seseorang atlet ke tahap tertinggi.

Beliau turut mengingatkan supaya setiap isu dalam kontinjen ditangani dengan segera, adil dan profesional agar fokus pasukan tidak terganggu, selain meminta atlet menjaga komunikasi dan tingkah laku sepanjang berada di Selangor.

Beliau juga menasihatkan atlet supaya tidak mengambil sebarang makanan tambahan atau suplemen tanpa nasihat jurulatih, pegawai perubatan atau pakar bertauliah kerana penggunaan bahan terlarang boleh menjejaskan kelayakan bertanding, membatalkan keputusan pertandingan serta merosakkan kerjaya yang dibina.

Selain itu, Hajiji juga meminta semua pegawai pengurusan mengutamakan aspek keselamatan dan kebajikan atlet dengan memastikan urusan perjalanan, penginapan, rawatan, pemulihan serta keperluan pertandingan diurus dengan teliti, di samping terus memperkukuhkan semangat setia kawan dalam kalangan anggota kontinjen.

Bagi menghargai pengorbanan atlet, jurulatih dan keluarga sepanjang tempoh persediaan, Hajiji berkata, kerajaan negeri akan meneruskan kadar insentif kemenangan yang dinaikkan pada SUKMA Sarawak 2024, termasuk insentif pingat emas yang dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000 sebagai tanda penghargaan kepada atlet negeri.

Related Posts

Permintaan tinggi, Tiket MADANI F1 GP Bahrain di Sepang habis terjual

TIKET MADANI yang berharga serendah RM200 bagi perlumbaan Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2-4 Oktober ini, sudah habis terjual, kata…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Arsenal angkat Perisai Komuniti, tewaskan City 3-0

ARSENAL membelasah Manchester City 3-0 pada aksi Perisai Komuniti di Stadium Principality sebentar tadi, sekali gus memberikan Enzo Maresca, kekalahan pertamanya sebagai pengurus The Citizens. Arsenal membuka tirai jaringan selepas…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

RM1.57 bilion perkukuh pembangunan kesihatan Sabah

RM1.57 bilion perkukuh pembangunan kesihatan Sabah

PH akan teliti mesej Kongres PKR, Persidangan DAP – Fahmi

PH akan teliti mesej Kongres PKR, Persidangan DAP – Fahmi

Polis sahkan kedai emas Genting Highlands dirompak

Polis sahkan kedai emas Genting Highlands dirompak

LDP Sandakan sedia rebut semula kepercayaan pengundi

  • By Fandi
  • August 17, 2026
LDP Sandakan sedia rebut semula kepercayaan pengundi

RM57.5 bilion dalam separuh tahun, KWSP catat lonjakan 48 peratus

RM57.5 bilion dalam separuh tahun, KWSP catat lonjakan 48 peratus

MBSA sedia 300 hidangan percuma di Seksyen 24 esok

MBSA sedia 300 hidangan percuma di Seksyen 24 esok