KUALA LUMPUR – Harga arang batu yang melonjak kepada AS$148 satu tan pada 10 September meningkatkan tekanan terhadap kos penjanaan elektrik negara, kata Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata, kenaikan itu ketara berbanding harga pada Julai dan Ogos, masing-masing AS$129.63 dan AS$130.67 satu tan.
“Namun pada 10 September, harganya mencecah AS$148 satu tan. Kenaikan ini secara langsung memberi kesan kepada kos untuk kita menjana elektrik,” katanya ketika menyampaikan Taklimat Krisis Bekalan Global, hari ini.
Akmal berkata, arang batu kekal antara sumber utama dalam campuran bahan api negara, justeru sebarang perubahan harga komoditi itu memberi kesan langsung terhadap kos penjanaan elektrik.
Katanya, tekanan harga turut membabitkan dua lagi sumber bahan api utama iaitu minyak mentah dan gas asli cecair (LNG), yang masing-masing mencatatkan peningkatan pada September berbanding Ogos.
“Ini menunjukkan pasaran tenaga global masih terdedah kepada ketidaktentuan susulan gangguan geopolitik dan cabaran laluan bekalan yang boleh mencetuskan kenaikan harga dalam tempoh singkat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan mengambil langkah memastikan jaminan bekalan bahan api negara sehingga Disember 2026 dengan mempelbagaikan sumber import, mengoptimumkan pengeluaran domestik serta memperkukuh perjanjian bekalan jangka panjang.
Menurutnya, bekalan minyak mentah dan produk petroleum turut diperoleh daripada pelbagai rantau termasuk benua Amerika, selain meneroka sumber alternatif dari Afrika.
Katanya, langkah mempelbagaikan sumber bekalan itu penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu negara atau laluan tertentu, sekali gus memperkukuh keselamatan tenaga negara.





