10 tangki air baharu bakal kurangkan gangguan bekalan Puncak Gloxinia

PAPAR – Kerajaan akan melaksanakan pembinaan 10 unit tangki sedutan jenis HDPE berkapasiti 10,000 gelen setiap satu di Kondominium Puncak Gloxinia, Kinarut sebagai langkah segera meningkatkan daya tahan sistem bekalan air dan mengurangkan kesan gangguan yang sering dihadapi lebih 1,200 penghuni di kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan projek itu merupakan susulan kepada Taklimat Penstabilan Bekalan Air Daerah Papar yang dipengerusikan Ketua Menteri Sabah pada 28 Julai lalu.

“Taklimat berkenaan memfokuskan kepada kemajuan dua projek penyelesaian jangka panjang iaitu Projek Naik Taraf Muka Sauk Kampung Kabang dan Projek Naik Taraf Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon, selain membincangkan keperluan pembinaan tangki sedutan tambahan di Puncak Gloxinia.

“Lawatan hari ini adalah bagi memastikan perancangan pembinaan 10 unit tangki sedutan jenis HDPE di Puncak Gloxinia dapat dilaksanakan dengan segera sebagai langkah mengurangkan impak gangguan bekalan air yang sering dihadapi penduduk di kawasan ini.

“Kedua-dua projek utama iaitu Projek Naik Taraf Muka Sauk Kampung Kabang dan Projek Naik Taraf Loji Rawatan Air Kogopon pula dijangka mula beroperasi pada September dan November tahun ini sebagai penyelesaian jangka panjang bagi menstabilkan bekalan air di Parlimen Papar,” katanya selepas meninjau lokasi pembinaan tangki berkenaan, pada Isnin.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, kondominum berkenaan mula diduduki pada penghujung 2018 merangkumi enam blok dengan keseluruhan 1,296 unit kediaman dan merupakan antara kawasan yang paling terjejas setiap kali berlaku gangguan bekalan air di LRA Kogopon.

Menurutnya, kedudukan perumahan itu di penghujung saluran penerima air bagi tangki utama P3 menyebabkan bekalan sering diterima lewat apabila berlaku gangguan, manakala struktur bangunan 18 tingkat bagi setiap blok menjadikan proses penghantaran bekalan air kecemasan lebih mencabar berbanding kawasan perumahan bertanah.

“Walaupun terdapat 24 tangki simpanan atas sedia ada, katanya, kapasiti tersebut masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan penghuni sekiranya gangguan bekalan berlaku dalam tempoh yang panjang.

“Dengan tambahan 10 tangki berkapasiti 10,000 gelen setiap satu serta pemasangan paip penghubung sepanjang 600 meter, kapasiti simpanan bekalan air akan dipertingkatkan supaya penghuni mempunyai bekalan untuk tempoh yang lebih lama sekiranya berlaku gangguan sementara.

“Langkah ini diharap dapat mengurangkan kesulitan yang telah lama dihadapi penduduk sementara menunggu projek penstabilan bekalan air siap sepenuhnya,” kongsinya.

Tambahnya lagi, pembinaan tangki sedutan tambahan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan bersama Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk memperkukuh sistem bekalan air di Papar melalui gabungan langkah jangka pendek dan jangka panjang.

Dalam pada itu, Armizan berkata, apabila projek Naik Taraf Muka Sauk Kampung Kabang dan LRA Kogopon siap dibina, ia dijangka meningkatkan kapasiti dan kestabilan bekalan air sekali gus memberi manfaat kepada penduduk di seluruh Parlimen Papar.

Related Posts

RM1.57 bilion perkukuh pembangunan kesihatan Sabah

KOTA KINABALU – Kerajaan Persekutuan meluluskan RM1.57 bilion bagi memperkukuh pembangunan sektor kesihatan Sabah menerusi Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi 2026. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Polis sahkan kedai emas Genting Highlands dirompak

KUANTAN – Polis Pahang mengesahkan satu kejadian rompakan berlaku di sebuah kedai emas dalam pusat beli-belah di Genting Highlands dekat Bentong hari ini. Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

RM1.57 bilion perkukuh pembangunan kesihatan Sabah

RM1.57 bilion perkukuh pembangunan kesihatan Sabah

PH akan teliti mesej Kongres PKR, Persidangan DAP – Fahmi

PH akan teliti mesej Kongres PKR, Persidangan DAP – Fahmi

Polis sahkan kedai emas Genting Highlands dirompak

Polis sahkan kedai emas Genting Highlands dirompak

LDP Sandakan sedia rebut semula kepercayaan pengundi

  • By Fandi
  • August 17, 2026
LDP Sandakan sedia rebut semula kepercayaan pengundi

RM57.5 bilion dalam separuh tahun, KWSP catat lonjakan 48 peratus

RM57.5 bilion dalam separuh tahun, KWSP catat lonjakan 48 peratus

MBSA sedia 300 hidangan percuma di Seksyen 24 esok

MBSA sedia 300 hidangan percuma di Seksyen 24 esok