
SANDAKAN – Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) membongkar pelbagai aktiviti menyalahi undang-undang menerusi operasi bersepadu di beberapa penempatan sekitar daerah ini pada 29 hingga 30 Julai lalu, dengan penahanan 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta tindakan penguatkuasaan melibatkan nilai keseluruhan RM433,077.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, operasi yang dijalankan di Jalan Istana, Kampung (Kg) Tabah Baru, Kg Karamunting dan Pusat Bandar Sandakan itu berjaya mengesan pelbagai kesalahan termasuk imigresen, pekerjaan, penyeludupan, penyalahgunaan barang kawalan, sambungan utiliti haram, pelesenan perniagaan dan jenayah hidupan liar.
“Seramai 25 PATI ditahan membabitkan 21 warga Filipina dan empat warga Indonesia selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
“Kesemua mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan media, pada Khamis.

Menurutnya, kejayaan itu membuktikan keberkesanan pendekatan penguatkuasaan bersepadu dalam memelihara keselamatan, ekonomi serta kesejahteraan masyarakat di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).
Tambah Victor, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) turut merampas rokok seludup bernilai RM20,000, manakala Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) merampas 300 kilogram (kg) kabel sambungan elektrik haram bernilai RM15,000 dengan anggaran kerugian hasil akibat sambungan haram mencecah RM300,000 setahun.
“Dalam operasi sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 1,105 kg minyak masak bersubsidi bernilai RM2,762 serta menyita sebuah kenderaan bernilai RM20,049, menjadikan jumlah rampasan RM22,811.
“Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) pula menyita pelbagai barangan jualan tanpa lesen bernilai RM6,500 selain mengeluarkan satu kompaun RM300.
“Sementara itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Sandakan menahan dua lelaki bersama 0.07 gram syabu yang disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952,” kongsinya.

Tambahnya lagi, dalam aspek pematuhan undang-undang pekerjaan, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengeluarkan 20 kertas siasatan kompaun, sembilan notis pelbagai kesalahan serta mengarahkan pembayaran tunggakan gaji minimum RM116 dengan nilai keseluruhan tindakan penguatkuasaan sebanyak RM60,116.
“Selain itu, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengeluarkan dua notis hadir ke pejabat melibatkan kesalahan penyambungan bekalan air secara haram dengan nilai kompaun RM600.
“Operasi berkenaan turut menyaksikan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah merampas 1,550 biji telur penyu yang dianggarkan bernilai RM7,750 bagi menghalang penjualannya di pasaran gelap,” ujarnya.
Dalam pada itu, Victor berkata, operasi bersepadu itu membuktikan ancaman keselamatan di ESS Zone bukan sahaja melibatkan jenayah rentas sempadan dan kehadiran PATI, malah turut merangkumi aktiviti penyeludupan, penyalahgunaan subsidi, sambungan utiliti haram, pelanggaran undang-undang pekerjaan serta eksploitasi sumber asli.

“Operasi ini melibatkan 263 pegawai dan anggota daripada ESSCOM bersama pelbagai agensi penguat kuasa Persekutuan, negeri serta pihak berkuasa tempatan.
“ESSCOM akan terus memperkukuh pendekatan penguatkuasaan berasaskan risikan dan kerjasama strategik antara agensi sejajar dengan hasrat ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’ bagi memastikan ESS Zone kekal selamat, stabil dan kondusif,” ujarnya.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada Pusat Operasi ESSCOM melalui talian 089-863181 atau WhatsApp 011-63311072.







