
KUALA LUMPUR – Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial (SEKPUR) meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan ketulenan dokumen yang tular di media sosial berkaitan status hukuman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Setiausaha Agung SEKPUR, Mejar (B) Razali Zakaria berkata, pihaknya membuat laporan polis bagi memohon semakan dan siasatan terhadap imej dokumen yang dikaitkan dengan isu berkenaan.
Menurutnya, dokumen bertajuk Order or Discharge, Payment or Fine yang dikongsikan menerusi satu hantaran Facebook oleh peguam, Liyana Marzuki menimbulkan persoalan mengenai status sebenar pelaksanaan hukuman Najib.
Beliau berkata, terdapat beberapa perkara dalam dokumen itu yang memerlukan pengesahan, termasuk penggunaan bahasa bercampur, penamaan mahkamah, ketidakseragaman penulisan, nama individu serta kesilapan ejaan dan jarak perkataan.
“Saya tidak mempunyai dokumen asal dan salinan yang diperakui sah. Oleh itu, saya tidak dapat mengesahkan ketulenan, ketepatan dokumen atau kesan undang-undang dokumen yang dipaparkan.
“Saya juga tidak dapat memastikan sama ada imej tersebut menggambarkan dokumen sebenar secara lengkap,” katanya ketika sidang media di hadapan IPD Dang Wangi, di sini hari ini.
Turut hadir aktivis masyarakat, Abdul Rani Kulup Abdullah.
Bagaimanapun, beliau menegaskan laporan itu bukan bertujuan membuat tuduhan terhadap Liyana atau mana-mana pegawai, institusi mahupun individu lain.
“Laporan ini bukan tuduhan terhadap Liyana Marzuki atau mana-mana pegawai, institusi mahupun individu lain.
“Saya tidak membuat kesimpulan bahawa kesilapan bahasa atau format membuktikan pemalsuan atau mana-mana pihak telah mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Menurut Razali, perkara utama yang mahu diperjelaskan ialah perbezaan antara pelepasan daripada penjara (discharge) dengan pelaksanaan baki hukuman menerusi tahanan di rumah kerana kedua-duanya mempunyai implikasi berbeza.
Katanya, kekeliruan yang berlarutan berpotensi mencetuskan pelbagai andaian, termasuk dakwaan terhadap pihak tertentu dalam kerajaan dan institusi kehakiman.
“Kita tidak mahu perkara ini terus tular sehingga menjadi isu yang lebih panas. Kita tidak tahu kesahihannya dan tidak mahu terlalu banyak andaian yang tidak baik.
“Kita mahukan keamanan, kestabilan dan keadilan kepada Datuk Seri Najib serta semua pihak yang terlibat dalam keputusan berhubung beliau,” katanya.
Mengulas mengenai pembayaran denda RM50 juta yang turut disebut dalam dokumen berkenaan, Razali menjelaskan perkara yang dibangkitkan SEKPUR bukan berkaitan pembayaran itu.
Sebaliknya, laporan berkenaan memberi tumpuan kepada kekeliruan mengenai status pelaksanaan hukuman Najib, khususnya perbezaan antara pembebasan daripada penjara dengan pelaksanaan hukuman melalui tahanan di rumah.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama kepada polis dan menyerahkan tangkap layar bahan berkaitan yang berada dalam simpanannya bagi membantu siasatan.


