
KUALA LUMPUR – Kelegaan buat ribuan mangsa banjir di Selangor apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan tunai tambahan khas sebanyak RM2,500 kepada setiap mangsa yang layak.
Pengumuman itu dibuat melalui kenyataan yang disiarkan pejabatnya hari ini.
Menurut kenyataan itu, pembayaran bantuan dijangka bermula esok, manakala kaedah pelaksanaan dan syarat kelayakan akan diumumkan agensi pelaksana dalam masa terdekat.
“Bantuan ini bertujuan meringankan beban mangsa bagi menggantikan barangan keperluan rumah rosak atau musnah akibat banjir.
“Perdana Menteri turut mengarahkan pelaksanaan projek tebatan banjir disegerakan bagi menangani kejadian banjir berulang,” kata kenyataan itu.
Langkah berkenaan dilihat sebagai usaha segera Kerajaan Persekutuan membantu mangsa bangkit semula selepas berdepan kemusnahan harta benda akibat bencana banjir yang melanda beberapa kawasan di Selangor.
Selain bantuan tunai, penekanan turut diberikan kepada penyelesaian jangka panjang apabila projek tebatan banjir diarah disegerakan bagi mengelak tragedi sama berulang.


