MCMC, LLM tangani ‘blind spot’ internet di lebuh raya melalui 77 menara baharu

CYBERJAYA – Sebanyak 77 menara telekomunikasi baharu akan dibina di sepanjang lebuh raya di seluruh negara bagi menambah baik liputan internet di kawasan yang dikenal pasti mengalami masalah isyarat, sekali gus menyokong pembangunan rangkaian lebuh raya pintar.

Inisiatif berkenaan dilaksanakan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Auditorium MCMC pada Khamis.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pembinaan menara itu melibatkan hampir 50 kilometer jajaran lebuh raya yang dikenal pasti sebagai kawasan liputan telekomunikasi lemah.

Beliau berkata, kerjasama strategik antara MCMC dan LLM bukan sahaja bertujuan memperluas capaian internet, malah menjadi pemangkin kepada peningkatan keselamatan pengguna lebuh raya, pertumbuhan ekonomi digital serta pelaksanaan transformasi digital negara selaras aspirasi Malaysia MADANI.

“Kerjasama ini mengangkat semangat ‘Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet’. Selain meningkatkan liputan rangkaian, ia memastikan pengguna lebuh raya mempunyai akses kepada komunikasi kecemasan, aplikasi navigasi serta maklumat trafik secara masa nyata bagi menjadikan perjalanan lebih selamat dan lancar,” katanya ketika berucap pada majlis pemeteraian MoU itu.

Antara lokasi yang dikenal pasti ialah Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), West Coast Expressway (WCE) dan Lebuhraya Pan Borneo.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata penyedia perkhidmatan internet satelit Starlink turut menyatakan hasrat untuk memperkenalkan teknologi Direct to Device (D2D) atau Direct to Cell di Malaysia.

Katanya, teknologi itu membolehkan telefon pintar berhubung terus dengan satelit tanpa memerlukan menara telekomunikasi, sekali gus berpotensi memperluaskan liputan komunikasi terutama di kawasan pedalaman dan lokasi yang sukar menerima isyarat.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, MoU tersebut menjadi langkah penting ke arah pembangunan ekosistem lebuh raya pintar negara yang bakal menyokong pelaksanaan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) serta Sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (Multi-Lane Fast Flow, MLFF).

Majlis itu turut menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Pengerusi LLM, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Azman Ibrahim; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; serta Ketua Pengarah LLM, Datuk Mohd Hadzmir Yusoff.

Related Posts

Kes 30 warga Malaysia ditahan di Pontianak, PDRM bantu siasatan

PEKAN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat penahanan 30 rakyat Malaysia di Pontianak, Kalimantan Barat oleh pihak berkuasa Indonesia kerana disyaki terbabit dalam sindiket penipuan dalam talian. Menteri Dalam…

Lebih lanjut

teruskan membaca
MCMC siasat laporan operasi manipulasi pilihan raya guna AI Claude

SHAH ALAM – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ambil maklum laporan syarikat pembangunan kecerdasan buatan (AI), Anthropic berhubung penyalahgunaan model AI Claude. MCMC berkata, perkara yang dinyatakan dalam laporan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Ibu bapa perlu celik digital, lindungi anak daripada risiko siber

Ibu bapa perlu celik digital, lindungi anak daripada risiko siber

Tempoh idah PRU16 belum sampai

Tempoh idah PRU16 belum sampai

Chelsea gagal raih tiga mata, seri 2-2 lawan Hull

Chelsea gagal raih tiga mata, seri 2-2 lawan Hull

Terengganu jadi ujian keikhlasan: Bila penyatuan Melayu sampai bab kerusi, Pas sanggup berkongsi?

Terengganu jadi ujian keikhlasan: Bila penyatuan Melayu sampai bab kerusi, Pas sanggup berkongsi?

Anwar sambut baik pertemuan dengan Mufti Besar India di Keralam

Anwar sambut baik pertemuan dengan Mufti Besar India di Keralam

Kampung Siaga 221 perkasa kesiapsiagaan komuniti hadapi bencana

Kampung Siaga 221 perkasa kesiapsiagaan komuniti hadapi bencana