PAPAR – Komitmen dan dedikasi warga kerja Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan mendapat pengiktirafan menerusi penganjuran Majlis Apresiasi jabatan itu yang berlangsung meriah, pada Rabu.
Pengarahnya, Milus Alu @ Abd Wahad berkata, penganjuran majlis berkenaan merupakan platform untuk menghargai sumbangan serta komitmen seluruh warga kerja dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Penganjuran majlis ini merupakan satu bentuk penghargaan kepada seluruh warga kerja atas komitmen, dedikasi dan usaha yang telah dicurahkan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Diharapkan majlis seumpama ini dapat terus menyemarakkan semangat kerja berpasukan, memperkukuh hubungan silaturahim serta menjadi motivasi kepada semua warga jabatan untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Malam Apresiasi JKOM Zon Sabah & WP Labuan, di sini, pada Rabu.
Katanya lagi, penganjuran majlis itu bukan sahaja menjadi wadah mengiktiraf usaha warga kerja, malah memperkukuh semangat kebersamaan, kerjasama dan hubungan silaturahim dalam organisasi.
Inisiatif berkenaan turut mencerminkan penghargaan jabatan terhadap peranan setiap pegawai dan kakitangan dalam memastikan kelancaran pelaksanaan tugas serta keberkesanan penyampaian komunikasi kepada masyarakat.
Selain itu, antara pengisian utama ialah persembahan daripada setiap zon yang mengetengahkan kreativiti dan bakat warga kerja, sekali gus menyemarakkan suasana kemeriahan majlis.
Majlis turut menyaksikan penyampaian lapan anugerah sebagai penghargaan kepada individu yang menunjukkan prestasi, komitmen dan sumbangan cemerlang kepada jabatan.
Antara anugerah yang disampaikan ialah Anugerah Pegawai Terbaik 2026, Anugerah Penghantaran Isu Konsisten, Anugerah Pilihan Isu Terbanyak, Anugerah Suntingan Video Terbaik, Anugerah Penulisan Berita Terbaik, Anugerah Isu Berimpak Tinggi, Anugerah Pengurusan Terbaik 2026 serta Anugerah Pencapaian Engagement Terbaik bagi September.
Turut hadir, Penolong Pengarah JKOM Zon Sabah dan WP Labuan (Unit Pengurusan), Warman Wagiman serta Penolong Pengarah (Cawangan Media Sosial dan Media Baharu), Mujahid Halpi.



