Pendeposit Tabung Haji FELDA Sendayan luah kecewa, mahu amanah terus dipelihara

SEREMBAN – Pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) di FELDA Sendayan meluahkan rasa kecewa susulan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan institusi itu, sambil berharap amanah terhadap simpanan umat Islam terus dipelihara.

Pendeposit, Mohd Khairy Lekah@Ishak berkata, laporan RCI itu menimbulkan rasa kecewa, malu dan geram kerana kepercayaan yang diberikan oleh pendeposit kepada TH selama ini perlu dihargai dan dijaga sebaik mungkin.

Katanya, dia sebelum ini tidak begitu mengambil berat mengenai isu berkenaan, namun berubah selepas membaca laporan RCI yang didedahkan kerajaan.

“Sebelum ini saya tidak perlu ambil tahu sangat. Tetapi apabila RCI sudah keluar dan kita baca, timbul rasa kecewa, malu dan geram kerana kita rasa amanah yang diberikan telah disia-siakan.

“Kami menyimpan wang di TH selama berpuluh-puluh tahun dengan penuh kepercayaan. Sebab itu kami rasa sangat terkilan,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP) di Felda Sendayan, pada Khamis.

Mohd Khairy berkata, wang yang disimpan di TH adalah hasil titik peluh pendeposit yang mengharapkan peluang menunaikan ibadah haji, justeru pengurusan institusi itu perlu sentiasa berlandaskan amanah dan integriti.

Tambahnya, pihak yang melakukan kesalahan perlu bertanggungjawab sekiranya terbukti berlaku pelanggaran terhadap amanah yang diberikan.

“Kalau seseorang sudah melakukan kesalahan, mereka perlu bertanggungjawab. Amanah sebesar ini bukan perkara kecil kerana ia melibatkan wang pendeposit.

“Saya berharap individu yang benar-benar layak dan berintegriti diberikan tanggungjawab untuk menjaga institusi ini,” katanya.

Dia berkata, isu berkenaan tidak seharusnya dilihat dari sudut politik, sebaliknya perlu dinilai sebagai soal amanah dan tanggungjawab kepada rakyat.

“Saya bukan orang politik. Bagi saya, ini soal amanah. Tidak kira daripada parti mana sekalipun, apabila diberi tanggungjawab, amanah itu perlu dijaga.

“Jangan berselindung di sebalik alasan pelaburan sana sini. Yang penting ialah memastikan wang pendeposit diuruskan dengan betul dan telus,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pendeposit TH dari FELDA Sendayan, Osman Mohd Ramli berkata, beliau turut berasa kecewa kerana simpanan di TH adalah hasil usaha keras umat Islam yang dikumpulkan sedikit demi sedikit bagi menunaikan ibadah haji.

“Saya memang marah kerana itu duit orang Islam yang menyimpan untuk pergi haji. Bukan mudah hendak kumpul duit itu.

“Kita simpan sebab mahu pergi haji. Tetapi apabila usia sudah meningkat dan kesihatan semakin merosot, peluang itu semakin sukar. Sebab itu kita rasa terkilan,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang didapati bersalah perlu dikenakan tindakan sewajarnya tanpa mengira kedudukan.

“Kalau buat salah, tanggunglah. Jangan perkara seperti ini dibiarkan begitu sahaja kerana ia melibatkan amanah rakyat.

“Wang yang kita simpan itu hasil kerja keras. Kita sendiri hendak keluarkan duit pun bukan mudah, tetapi ada pihak yang diberikan amanah untuk menguruskannya,” katanya.

Dia berharap pengurusan TH pada masa hadapan terus diperkukuh supaya keyakinan pendeposit dapat dipulihkan dan institusi itu kekal menjadi tempat simpanan yang dipercayai umat Islam.

Pada Rabu, laporan akhir RCI berkaitan TH yang sebelum ini diklasifikasikan telah didedahkan kerajaan selepas Jemaah Menteri bersetuju menyahklasifikasikannya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, keputusan mendedahkan laporan itu dibuat kerana rakyat berhak mengetahui hasil siasatan berhubung isu berkaitan TH, selepas kedudukan institusi berkenaan kini berada dalam proses pemulihan.

Related Posts

Lembaga Pengampunan: Pas perlu faham peraturan, bukan keruhkan keadaan – PM Anwar

KOZHIKODE – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pandangan yang diberikan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibuat berdasarkan undang-undang, nasihat…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Prosiding Lembaga Pengampunan sulit, tak wajar dipersoalkan – Tajuddin

SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan tidak wajar mempersoalkan prosiding Lembaga Pengampunan berhubung penangguhan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Lembaga Pengampunan: Pas perlu faham peraturan, bukan keruhkan keadaan – PM Anwar

Lembaga Pengampunan: Pas perlu faham peraturan, bukan keruhkan keadaan – PM Anwar

Prosiding Lembaga Pengampunan sulit, tak wajar dipersoalkan – Tajuddin

Prosiding Lembaga Pengampunan sulit, tak wajar dipersoalkan – Tajuddin

PM Anwar tegas pilih kestabilan, bukan polemik politik

PM Anwar tegas pilih kestabilan, bukan polemik politik

BRICS wadah perjuang sistem antarabangsa lebih adil – PM Anwar

BRICS wadah perjuang sistem antarabangsa lebih adil – PM Anwar

Sambutan Hari Malaysia 2026: Fahmi jamin capaian internet optimum untuk media

Sambutan Hari Malaysia 2026: Fahmi jamin capaian internet optimum untuk media

Malaysia-Keralam bincang peluang tingkat perdagangan, pelaburan

Malaysia-Keralam bincang peluang tingkat perdagangan, pelaburan