
SEREMBAN – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan penarikan balik dua darjah kebesaran negeri yang dikurniakan kepada Tan Sri Dr Mohd Rais Yatim, berkuat kuasa serta-merta.
Pendaftar Darjah, Datuk Mohd Zafir Ibrahim berkata, titah berkenaan membabitkan Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (SPNS) yang dikurniakan pada 2001 dan Darjah Dato’ Setia Negeri Sembilan (DSNS) yang diterima pada 1979.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat bagi memelihara kebesaran, kemuliaan dan kehormatan Institusi Diraja Negeri Sembilan.
“Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah menitahkan penarikan balik kurniaan Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (SPNS) (2001) dan Darjah Dato’ Setia Negeri Sembilan (DSNS) (1979) kepada Tan Sri Dr Mohd Rais Yatim, berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mohd Rais yang kini merupakan Pengerusi Parti Wawasan Negara pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dari 12 Julai 1978 hingga 29 April 1982.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut tidak menyatakan sebab penarikan balik kedua-dua darjah kebesaran berkenaan.





