
RAMAI sebelum ini menganggap kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak melakukan perubahan yang mencukupi, sedangkan Perdana Menteri berdepan pelbagai cabaran termasuk sokongan politik yang tidak kukuh, kerajaan gabungan serta tekanan ekonomi global.
Perkara itu dibangkitkan pengguna media sosial, Anetha Vallaitham Pillai menerusi hantaran di Threads dengan menyifatkan Anwar sebagai pemimpin yang selama ini berusaha mengekalkan kestabilan negara di sebalik tekanan politik dan ekonomi.
“Selama lebih tiga tahun, kita silap tentang Anwar. Dia bukan tidak melakukan apa-apa, sebaliknya secara senyap berusaha mengekalkan negara ini bersama-sama,” katanya.
Dia turut menyentuh isu ketegangan kaum dan mendakwa Anwar terpaksa mengambil pendekatan berhati-hati dalam mengimbangi tuntutan pelbagai kelompok masyarakat, khususnya dalam menghadapi pengaruh politik konservatif Melayu.
Katanya, sebahagian dasar yang menimbulkan ketidakpuasan hati masyarakat Cina bukan dimulakan oleh Anwar, namun kerajaan pimpinan beliau tetap perlu menangani kesannya.
Anetha turut mempertahankan rekod reformasi kerajaan dengan mendakwa beberapa cadangan perubahan, termasuk had tempoh jawatan Perdana Menteri serta pemisahan kuasa pendakwaan, berdepan tentangan politik.
“Bukan dia tidak mahu perubahan, tetapi kuasa konservatif terlalu kuat,” katanya.
Dalam hantaran sama, Anetha menyenaraikan beberapa pencapaian yang didakwanya menunjukkan perkembangan positif negara di bawah pentadbiran Anwar.
Antaranya termasuk pengukuhan ringgit, pengekalan status gred pelaburan Malaysia oleh agensi penarafan antarabangsa, peningkatan daya saing global serta pertumbuhan sektor pelancongan.
Anetha turut berkata Malaysia kini semakin berkembang sebagai hab pusat data kecerdasan buatan (AI) dan industri semikonduktor susulan kemasukan pelaburan baharu.
Dari aspek hubungan antarabangsa pula, Anetha berkata Anwar berjaya mengekalkan hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat dan China secara seimbang tanpa menjejaskan kepentingan negara.
Dia turut menyentuh projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menurutnya bakal meningkatkan hubungan pengangkutan serta aktiviti ekonomi di Pantai Timur apabila mula beroperasi.
Mengenai kedudukan fiskal negara, Anetha mendakwa kerajaan kini berjaya mengurangkan defisit fiskal serta membuat bayaran berkaitan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Ringkasnya, Anwar bukan sekadar membuat janji besar, tetapi memberikan hasil sebenar. Ekonomi kita lebih kukuh, kedudukan Malaysia di dunia semakin tinggi, hutang lebih terkawal dan masa depan kelihatan lebih cerah.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita berhak memberikan penilaian yang adil kepadanya,” katanya.
Anetha mengakhiri hantaran tersebut dengan mengulangi bahawa prestasi Anwar sepanjang lebih tiga tahun menerajui negara banyak yang memberi kebaikan dalam tempoh jangka panjang namun ramai tidak sabar menantinya.







