CHENNAH – Tiada isu utama yang membelenggu Kampung Simpang Durian ketika ini, malah sebarang permasalahan yang timbul boleh disalurkan kepada penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, Anthony Loke menerusi pegawai yang ditempatkan di kawasan berkenaan.
Pengundi DUN Chennah, Rubiah Bashiruddin, 40, berkata, walaupun tidak pernah bertemu Anthony di kampung berkenaan, pegawai beliau kerap turun padang bagi meneliti isu yang dibangkitkan penduduk.
Menurut beliau, pendekatan tersebut memudahkan masyarakat setempat menyalurkan sebarang aduan atau cadangan untuk tindakan lanjut.

“Anthony dia okay dekat sini (Chennah) walaupun saya tak pernah nampak dia turun di kampung ini dia ada hantar pegawai dia untuk meneliti permasalahan yang dihadapi penduduk.
“Sehubungan itu, ada apa apa isu berbangkit kami boleh salurkan kepada pegawai beliau (Anthony),” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.
Bagaimanapun, Rubiah berpendapat agar isu banjir kilat yang dihadapi penduduk sekiranya hujan lebat berterusan diselesaikan segera secara holistik oleh pihak berwajib.
“Bencana tersebut berlaku apabila air dari kawasan ladang kelapa sawit berhampiran melimpah ke sistem perparitan sehingga menyebabkan longkang tidak mampu menampung jumlah air yang banyak.
“Apabila hujan lebat berterusan, air dari ladang kelapa sawit akan mengalir ke longkang sehingga penuh sebelum melimpah ke kawasan rumah penduduk,” katanya.
Sementara itu, penduduk Kampung Simpang Durian, Suzana Jumaah, 49, berkata, penduduk menghargai tindakan pihak berwajib yang sebelum ini melaksanakan kerja menaik taraf sistem perparitan bagi mengurangkan risiko banjir kilat.

Bagaimanapun, beliau berpendapat, terdapat beberapa aspek yang masih boleh ditambah baik, termasuk kapasiti longkang baharu yang didakwa lebih kecil berbanding struktur asal sehingga kapasiti banjir menjadi lebih meluas.
“Kalau ikutkan tiada apa apa masalah di Kampung Simpan Durian, kalau ada pun isu bajir kilat setiap kali hujan berterusan. Saya tak nafikan memang ada diambil tindakan, mereka buat longkang baharu namun kelemahannya perparitan yang dibuat lebih kecil daripada longkang asal.
“Disebabkan itu, banjjr kilat menjadi semakin lebih besar dan banyak rumah penduduk. Kita sambut baik tindakan yang diambil tapi kelompangan kelemahan yang berlaku harap diberbaiki agar tiada lagi rumah terjejas,” katanya.






