JEMPOL – Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki digesa membuat memohon maaf selepas mendakwa Anthony Loke bakal menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya Datuk Seri Aminuddin Harun tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kenyataan Setiausaha Agung UMNO itu bercanggah dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan yang menetapkan jawatan Menteri Besar hanya boleh disandang oleh seorang Melayu.
Menurut beliau, Asyraf Wajdi yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) seharusnya menjadi antara individu terawal memahami kandungan undang-undang tubuh negeri itu.
“Saya lihat itu satu kenyataan yang tidak betul, jauh menyimpang dari perlembagaan undang-undang tubuh Negeri Sembilan. Datuk Dr. Asyaf Wajdi, kena ingat beliau juga pengerusi MARA yang menjaga institusi-institusi pendidikan bagi anak-anak Melayu.
“Maka sepatutnya beliau antara yang terawal meneliti, menghadam Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan dan saya harap beliau memohon maaf kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan atas kekhilafan yang telah beliau lakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri program wayang pacak di Taman Saujana Rompin, Bahau, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, sentimen tersebut tidak seharusnya dijadikan peluru politik dalam BN melemahkan PH dalam memikat hati pengundi di Negeri Sembilan.
“Menteri Besar di Negeri Sembilan hanya boleh dipilih dari kalangan orang Melayu. Itu telah termaktub sejak undang-undang tubuh itu digubal sekian lamanya.
“Jadi sama ada Dr Asyraf tidak tahu ataupun lupa sejarah tapi itu satu sikap bagi saya yang amat mengecewakan,” katanya.
Terdahulu, Asyraf Wajdi mempersoalkan siapakah yang akan dilantik sebagai calon menteri besar daripada PH sekiranya Aminuddin tewas dalam pilihan raya negeri kali ini.
Beliau kemudian membangkitkan persoalan sama ada rakyat Negeri Sembilan mahu Anthony Loke menjadi Menteri Besar.




