
PORT DICKSON – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan berjaya mengurangkan kos pembelian Kapal Misi Pesisir (LMS) sebanyak 15 peratus menerusi rundingan secara terus antara kerajaan Malaysia dan Turkiye.
Beliau berkata, pendekatan kerajaan kepada kerajaan (G2G) itu dilaksanakan bagi menghapuskan kebergantungan kepada ejen yang sebelum ini didakwa menyebabkan kos pembelian aset pertahanan meningkat.
Menurut beliau, pihaknya sendiri menghubungi Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bagi mencadangkan supaya rundingan pembelian kapal dilakukan secara terus antara kedua-dua kerajaan.
“Saya telefon sahabat saya, Erdogan, Presiden Recep Tayyip Erdogan. Saya kata, Erdogan, kita nak beli kapal. Boleh tak kita runding terus di antara dua kerajaan? Turunkan harga.
“Tak payah komisen kepada ejen-ejen Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk ini kerana kita tak mampu bayar terlalu banyak kepada ejen. Boleh tak kita runding? Minta kepakaran dari Angkatan Tentera pergi runding apa yang diperlukan, minta wakil Kementerian Kewangan tengok kos.
“Presiden Tayyip Erdogan kata, very good proposition. Jadi kita lakukan itu. Jadi pembelian kita sedaya upaya sekarang di antara dua kerajaan. Kos lebih rendah, ejen yang ambil dana terlalu tinggi itu dihentikan. Kita dapat beli kapal dari Turkiye sehingga kita dapat potongan harga sehingga 15 peratus,” katanya.
Anwar berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat, di sini, pada Jumaat.
Hasil pendekatan terbabit, menurut beliau, kos pembelian kapal LMS dari Turkiye berjaya dikurangkan sebanyak 15 peratus.
Anwar pada masa sama merakamkan penghargaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), atas sokongan terhadap dasar baharu kerajaan yang menekankan pembelian aset pertahanan secara telus serta menghapuskan peranan ejen yang membebankan kerajaan.
Media pada 24 Mei lalu melaporkan, Malaysia dijangka menerima tiga Kapal Misi Pesisir Batch 2 (LMSB2) yang dibina di Turkiye menjelang akhir tahun depan, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam menjaga kedaulatan perairan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembinaan kapal berkenaan berjalan mengikut jadual sejak kontrak dimeterai pada Jun 2024 dengan penamaan dan pelancaran LMSB2 pertama berlangsung hari ini di limbungan kapal Istanbul di sini, diikuti kapal kedua pada Jun dan kapal ketiga Ogos ini.






