
SEREMBAN – Dakwaan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan ‘boneka’ kepada DAP hanyalah sentimen politik tidak mencerminkan realiti pentadbiran negeri yang tidak seharusnya menjadi kayu ukur pengundi dalam menilai prestasi sesebuah kerajaan.
Seorang pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, Nurul Saadah Abdul Rahman, 63, berkata, rakyat perlu berlaku adil dengan menilai Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berdasarkan prestasi dan hasil kerja, bukan dipengaruhi sentimen politik mahupun kaum semata-mata.
Menurutnya, rakyat perlu menilai rekod pentadbiran kerajaan negeri dan Persekutuan termasuk usaha yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum membuat keputusan di peti undi.
“Insya-Allah, kalau pada diri mak cik dan harap semua rakyat Negeri Sembilan memang kena kekalkan Tok Min (Aminuddin) kerana dia antirasuah, beliau jaga Negeri Sembilan dengan baik. Banyak faedah kita dapat daripada Tok Min. Walaupun dia baru, kan? Walaupun orang tak suka dengan DAP tapi sejarah kita tengok DAP tidak rasuah.
“Tuduhan beliau boneka DAP hanya sebab mereka (parti) Cina tapi MCA bukan Cina ke, Gerakan bukan Cina ke, sedangkan kita tahu dia orang dalam BN dah lama, banyak menggunakan duit rakyat sekian lama tapi DAP tidak rasuah.
“Sedangkan PH terutama yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar ini sangat menjaga Malaysia terutama di mata dunia, mata wang kita naik, kerajaan kita dikenali, banyak faedah yang kita dapat kenapa kita mesti nak buang orang yang menjaga rakyat,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) ketika ditemui di Taipan 2, pada Khamis.

Dengan nada sedikit kecewa, Nurul Saadah sukar memahami mengapa masih ada segelintir rakyat mendakwa kerajaan tidak membantu sedangkan pelbagai bentuk bantuan dan kemudahan telah dinikmati oleh masyarakat.
Menurutnya, sepanjang PH mentadbir Negeri Sembilan sejak 2018 di bawah kepimpinan Aminuddin, pelbagai inisiatif dan lebih banyak bantuan telah dilaksanakan sehingga manfaatnya dirasai rakyat di peringkat akar umbi, berbanding apa yang dinikmati oleh pengundi ketika Barisan Nasional (BN) memerintah.
“Bila ada duit, kerajaan, orang-orang atasan (ketika BN memerintah) sahaja yang dapat. Rakyat dibiarkan. Jadi dengan Tok Min ni, walaupun baru kita dapat merasa, macam-macam Tok Min bagi dekat rakyat Negeri Sembilan. Sehubungan itu, pada mak cik memang rakyat Negeri Sembilan kena bangkit kekalkan Tok Min.
“Bagi orang berfikiran cerdik dan matang, diorang akan pilih pemimpin yang baik, yang jaga rakyat. Bukan kita persoalkan atas nama BN tu, cuma orang kenal berpuluh-puluh tahun. Tapi tidak membawa banyak kejayaan pada rakyat Malaysia,” katanya.
Tambahnya, sepanjang lapan tahun pentadbiran PH, pelbagai perubahan serta pembangunan dapat dilihat selain pelaksanaan pelbagai program kebajikan yang memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengira kaum.
“Memang nak kata orang itu 100 peratus baik, tidak. Namun apa yang saya nampak, kerajaan sekarang lebih baik daripada kerajaan-kerajaan sebelum ini. Sebab itu saya harap rakyat Negeri Sembilan terus memberi peluang kepada Tok Min untuk meneruskan apa yang telah beliau lakukan,” katanya.






