
PORT DICKSON – Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun menyangkal dakwaan pencalonan beliau di DUN Linggi adalah cubaan membenamkan karier politiknya dan kaitan beliau dengan kem bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli juga tidak berasas.
Aminuddin memaklumkan, beliau sendiri yang membuat keputusan berhijrah dari DUN Sikamat ke Linggi untuk memperluaskan kemenangan PH di negeri itu dan perkara itu sudah berulang kali ditegaskan sebelum ini namun masih lagi menjadi peluru oleh pihak lawan.
Pada masa sama, beliau turut menyelar tuduhan kononnya wujud kem tertentu di dalam parti itu di Negeri Sembilan, susulan keputusan mencalonkannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi.
“Yang selalu sebut perkara ini (benam dan kem Rafizi) adalah ‘jiran’ sebelah sana (lawan politik) namun bagi saya yang penting ini keputusan politik saya, saya yang tawarkan diri, bukan arahan oleh mana-mana pimpinan. Apabila saya buat keputusan ini, saya yakin saya dapat bekerja di Linggi dan dapat diterima.
“Jadi isunya bukan kem mana-mana, sama ada kem A, kem B atau kem Rafizi. Tetapi bagi saya yang penting adalah pastikan bahawa Pakatan Harapan menang pada pilihan raya kali ini, insya-Allah,” katanya menerusi sidang media, pada Khamis.
Aminuddin ditanya berkenaan dakwaan kononnya keputusan pucuk pimpinan parti PKR meletakkan beliau bertanding di kerusi DUN Linggi sebagai cubaan untuk membenam karier politik beliau memandangkan kawasan itu diketahu merupakan kubu kuat UMNO dan BN.
Malah, terdapat juga dakwaan kononnya keputusan tersebut sebagai ‘hukuman’ memandangkan Aminuddin sebelum ini sering dikaitkan dengan kem Rafizi.
Sementara itu, Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut menegaskan, beliau juga bukan boneka kepada mana-mana pihak termasuk DAP dalam membuat keputusan bertanding di DUN Linggi.
Menurut beliau, PH tidak akan melayan serangan politik atau dakwaan yang disifatkan sebagai fitnah sepanjang baki tempoh kempen, sebaliknya memberi tumpuan menjelaskan manifesto serta tawaran kepada rakyat.
“Saya bukan boneka mana-mana pihak, saya buat keputusan ini (tanding DUN Linggi) kerana saya sayangkan parti dan saya sayangkan perjuangan ini. Jadi saya akan teruskan perjuangan ini, insya-Allah.
“Serangan itu tidak memberi kesan kepada kami. Apa yang kami tawarkan kepada rakyat sudah diterjemahkan menerusi manifesto. Itulah yang lebih penting daripada melayan andaian dan fitnah yang dimainkan pihak lawan,” katanya.






