
SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin prestasi pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mampu meyakinkan rakyat untuk terus memberikan mandat kepada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri ini.
Anwar berkata, kestabilan politik yang diterjemahkan menerusi Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan turut memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi negara serta meningkatkan keyakinan pelabur.
“Kestabilan pentadbiran penting kerana pelabur hanya akan datang ke negara yang mempunyai kerajaan kukuh dan konsisten dalam melaksanakan dasar.
“Apabila kerajaan stabil, ekonomi akan melonjak dan pelaburan akan datang. Jika politik tidak stabil, ekonomi akan terjejas dan akhirnya rakyat juga yang menanggung kesannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, di sini, malam ini.
Anwar berkata, sepanjang tempoh pentadbiran Aminuddin sebagai Menteri Besar, beliau tidak pernah mendengar sebarang isu besar membabitkan salah guna kuasa atau kegagalan kerajaan negeri dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
“Saya tidak pernah dengar beliau tidak membantu rakyat. Saya tidak pernah dengar beliau mengabaikan kebajikan rakyat.
“Kalau ada kelemahan dalam pentadbiran, kita boleh tegur dan perbaiki, tetapi dari segi rekod, integriti dan keperibadian, saya melihat beliau adalah calon yang terbaik,” katanya.
Menurutnya, dakwaan serta serangan politik terhadap kepimpinan kerajaan negeri lebih berkaitan dengan persaingan mendapatkan kuasa berbanding kelemahan sebenar dalam pentadbiran.
Beliau berkata, Aminuddin turut berjaya memperkukuh pembangunan Islam di Negeri Sembilan menerusi pembinaan masjid, penambahbaikan sekolah agama serta pelaksanaan pelbagai program kebajikan rakyat.
Dalam masa sama, Anwar berkata kerajaan negeri memberi perhatian terhadap aspek pelaburan, pembangunan ekonomi dan penciptaan peluang pekerjaan kerana pertumbuhan ekonomi yang baik akan memberi manfaat kepada rakyat, khususnya golongan muda.
Katanya, pengalaman serta rekod pentadbiran Aminuddin menjadi faktor penting untuk memastikan kesinambungan pembangunan Negeri Sembilan dapat diteruskan.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi supaya terus memberikan sokongan kepada PH bagi mengekalkan kestabilan politik dan meneruskan agenda kesejahteraan rakyat di negeri itu.






