
SEREMBAN – Serangan politik terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun didakwa berpunca daripada rasa tidak puas hati pihak tertentu selepas calon pilihan mereka tidak dilantik menerajui kerajaan negeri.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu menyebabkan pelbagai naratif dan persepsi negatif dilemparkan terhadap Aminuddin, termasuk dakwaan kepada Naib Presiden PKR itu menjadi ‘boneka’ kepada DAP, walaupun tiada isu berkaitan prestasi pentadbiran dibangkitkan sebelum ini.
Beliau berkata, sepanjang tiga tahun setengah menerajui Kerajaan MADANI, beliau tidak pernah menerima aduan daripada mana-mana pemimpin parti mengenai kegagalan Aminuddin menjalankan tugas, mengabaikan rakyat atau terbabit dalam isu salah guna kuasa.
“Sebenarnya mereka tak puas hati kerana bukan Menteri Besar, calon mereka bukan Menteri Besar. Itu percubaan tebuk atap yang awal di Negeri Sembilan.
“Memang saya sabar, saya runding dengan baik, ya, bincang dengan baik, nak cari penyelesaian. Kerana masa pilihan raya dia nak buat peraturan lain, buatlah.
“Tetapi oleh kerana satu yang saya dengar. Betul orang Melayu sekarang dengar ini, PH tidak membela nasib Melayu. 3 tahun setengah saya tak dengar! Sungguh-sungguh!
“Saya tak dengar! Saya bincang dengan mereka itu bukan seminggu sekali, kadang satu minggu.. tiga, empat kali dengan pimpinan parti ini semua. Tak pernah dengar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, di sini, pada Rabu.
Anwar berkata, kestabilan politik penting bagi memastikan ekonomi negeri dan negara terus berkembang kerana ketidaktentuan politik hanya akan memberi kesan kepada rakyat.
Katanya, kerajaan perlu memastikan pentadbiran berjalan secara stabil supaya keyakinan pelabur dapat dikekalkan dan peluang pekerjaan terus diwujudkan.
Dalam pada itu, beliau berkata isu sebenar yang dibangkitkan pihak tertentu bukan berkaitan kelemahan pentadbiran Aminuddin, sebaliknya lebih kepada usaha merebut kuasa dan kedudukan Menteri Besar.
Menurutnya, Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan mempunyai rekod pentadbiran yang baik termasuk dalam pembangunan Islam, kebajikan rakyat serta pelaksanaan pelbagai program untuk masyarakat.
“Orang lebih tahu dan lebih faham apa yang telah dilakukan. Tengok sahaja rekod pembangunan masjid baharu dan program-program rakyat yang dilaksanakan,” katanya.
Anwar berkata, sokongan kepada Aminuddin bukan berdasarkan hubungan peribadi semata-mata, sebaliknya berdasarkan penilaian terhadap prestasi, integriti dan kemampuan beliau mentadbir Negeri Sembilan.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya terus memberikan kepercayaan kepada PH bagi memastikan kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan negeri dapat diteruskan.







